Lantaran sukakan cabaran yang lebih hebat dan mahu menikmati keindahan alam semulajadi, Mazlan menyertai Kelab Hijau. Sebuah kelab yang berlandaskan perinsip menjaga keindahan alam yang ada supaya manusia bebas menikmati segarnya bumi. Di asrama, kelab ini lebih tertumpu kepada usaha menjaga persekitaran supaya sentiasa hijau, ceria dan mendamaikan. Waktu mula-mula Mazlan menjejakkan kaki ke asrama ini kempen “Biarkan Mereka Menikmati “ sedang hangat berlangsung. Sebuah kempen yang menghalang penghuni asrama memijak rumput, memetik bunga atau daun pokok dan memberi makan kepada burung merpati.
Aktiviti memberi makan kepada burung merpati itulah yang menawan hati Mazlan untuk menyertai kelab ini. Setiap pagi selepas sarapan pagi, dia akan bersama-sama memberi makan burung merpati di dataran kolej. Cebisan roti atau juga makanan burung yang sudah disediakan ditabur. Seronok sungguh Mazlan melihat burung yang jinak tetapi liar itu makan. Itulah juga titik perkenalannya dengan Burhan, seorang pelajar senior yang setiap pagi akan memunggah roti dari dewan makan kemudian mencarik-carikkan roti tersebut. Berbanding dengan senior-senior lain, Burhan banyak mendekati Mazlan. Berbual sambil memberi makan kepada burung-burung.
Perkenalan mereka sebenarnya tidaklah serapat persahabatan Mazlan dengan Johan, pengerusi Kelab Hijau. Johan lebih santai dan boleh berjenaka, berbanding Burhan yang agak formal serta memilih bulu. Namun Mazlan banyak berkongsi ilmu tentang bumi dengannya. Mereka lebih rapat sewaktu sama-sama mengikuti ekspidisi ke Pulau Kapas. Mazlan banyak belajar tentang struktur geografi pulau itu dan juga jenis-jenis batu yang terhampar di pantai melalui Burhan. Pulang dari Pulau Kapas, Burhan menyuruh Mazlan membaca sebuah buku bertajuk, “Apa Ertinya Saya Menjadi Pencinta Alam.” Buku itu benar-benar bagus, mengajar Mazlan tentang etika, sebab dan tindakan yang patut dilakukan oleh seorang pencinta alam.
“Lan, buku inilah yang mengajar abang tentang prinsip mencintai alam. Ingat alam ini bukan untuk kita sahaja. Alam ini juga bukan milik kita. Kita pinjam dari Tuhan dan ia milik anak-anak kita. Generasi masa hadapan juga memerlukan alam ini. Itulah sebabnya kita perlu bertindak memeliharanya. Paling penting kita perlu ingat, kerana alam ini kita masih boleh berdiri di sini. Kita mendapat oksigen, air dan makanan dari sumbernya.”
Kemudian Burhan mengendalikan program “Selamatkan Bumi Dari Asap Rokok.” Pada mulanya ramai ahli kelab yang membantah cadangan tersebut kerana sebahagian mereka juga merokok. Walaubagaimanapun, Burhan menguatkan tekadnya. Dia berhujah mengenai kesan buruk asap rokok kepada alam sekitar samalah seperti kesan asap yang dikeluarkan oleh kilang-kilang. Oleh itu katanya, asap rokok dan asap kilang tiada bezanya. Hampir sebulan juga ahli kelab bergaduh tentang pelaksanaan kempen ini. Huzairi yang mengetuai kumpulan penentang cadangan tersebut mula membentangkan satu cadangan baru iaitu Kempen Kitar Semula. Tentu sahaja pertelingkahan tersebut sedikit sebanyak menganggu Mazlan yang juga bigung untuk memihak kepada siapa.
Cuti hujung minggu dimanfaatkan untuk pulang ke rumah. Pandangan Abah diminta. Abah juga menolak cadangan Burhan sambil menyedut rokok Dunhillnya. Mazlan merenung Abah dan merenung rokoknya.
“Rokok memang mengeluarkan asap tetapi tidaklah bahayanya seperti asap kilang. Kalau betul tentu Abah sendiri sakit-sakit.” Abah batuk-batuk. Abah juga mengadu tidak berupaya menikmati kacang parang lagi kerana giginya sudah mula tidak kuat. Mazlan kira itulah bahana merokok, kesan itu pernah diberitahu Burhan.
“Kamu jangan jadi pengikut kempen bodoh itu juga!” Amaran dari Abah apabila Mazlan mengucup tangan mengucapkan selamat jalan untuk kembali ke kampus.
“Kempen ini serampang dua mata,” kata Burhan kepada Mazlan sewaktu mereka menikmati makan malam. “Pertama abang mahu kempen ini nampak seperti kempen anti pencemaran alam sekitar, tetapi sebenarnya inilah kempen anti merokok. Asap rokok bukan sahaja bahaya untuk perokok malah memberi kesan buruk kepada mereka yang mendampinginya. Kesan rokok ini juga dialami oleh siapa saja yang mendekati perokok walaupun ketika tidak menghisap rokok. Perokok sudah sebati dengan bahan kimia yang ada dalam rokok. Nafas mereka, bau badan mereka bahkan baju mereka juga sudah dicemari oleh bahan kimia dalam asap rokok. Jadi, bahan itu juga boleh berpindah kepada orang lain. Bayi dalam kandungan juga boleh terkesan dengan asap rokok. Prinsipnya, kita kena selamatkan manusia kemudian baru manusia boleh selamatkan alam. Kalau manusia tidak mahu selamatkan diri mereka sendiri kenapa mereka bersusah payah menyelamatkan alam.”
Burhan menggunakna pengaruh yang ada, menemui beberapa orang besar asrama. Dia berpolitik lebih bijak untuk memastikan programnya berjaya. Akhirnya kempen yang dicadangkannya menjadi realiti. Lebih hebat lagi adalah semasa pelancaran kempen tersebut beberapa wartawan akhbar popular juga dijemput. Berita tentang pelancaran tersebut mengisi muka hadapan akhbar itu esoknya. Pagi-pagi lagi Abah sudah menelefon Mazlan.
“Abah cakap jangan ikut mereka, kamu dengil ikut juga. Kenapa?” Marah Abah dari hujung talian membuatkan Mazlan terdiam. Waktu itu Mazlan baru melihat hebatnya gambar dia semasa majlis pelancaran di sebuah akhbar.

No comments:
Post a Comment