Friday, June 19, 2009

Cerita Sebuku Tekad ii

Pertentangan pendapat dengan Abah memang menyukarkan Mazlan. Berbelah bahagi untuk membuat keputusan. Terus memperjuangkan kempen atau mengikut kata Abah supaya mengikut katanya.

“Mendapat tentangan keluarga itu adalah lumrah. Kita serasi perkara biasa. Bukan kita mahu derhaka kepada mereka, tetapi kita mempertahankan sesuatu yang betul. Perjuangan demi kepentingan seluruh ummah.” Mazlan menelan kata yang dihulurkan Burhan sedikit-sedikit.

Kehidupan dia dan Burhan memang berbeza. Abah seorang pejuang dan pernah juga mengikuti pahit manis perjuangan di kampus. Ayah Burhan hanya seorang petani yang kalau bercakap tentang perjuangan sekadar di meja kedai kopi. Tentu berbeza penentangan dari keluarga. Abah pula selalu menjemput Mazlan untuk menemani menonton teater di Istana Budaya. Walaupun minat tidak sama tetapi kerap mengiringi Abah membuatkan Mazlan dekat dan faham falsafah Abah. Burhan jarang sekali pulang ke kampung, jadi dia banyak masa bersama teman-teman. Kurang masa bersama keluarga menyebabkan tidak banyak perihal perjuangan diberitakan kepada mereka. Lantas Burhan punyai lebih ruang untuk mengejar perjuangan dan mengajar Mazlan tentang perjuangan.

“Lan ada cita-cita nak kahwin dua tak?” Tanya Burhan selepas Mazlan terus menceritakan resahnya mahu berhadapan dengan Abah.

“Entah,” jawab Mazlan dengan senyum tersipu-sipu. Dalam hati dia memang mahu berkahwin dua. Tiada siapa yang mahu lepaskan peluang itu kalau diberi.

“Nak lah tu.” Burhan membalas senyuman dengan ketawa kecil.

“Keluarga memang penting. Tetapi perjuangan tetap tidak boleh ditinggalkan. Ibarat berkahwin dua. Tidak boleh berat sebelah. Mesti adil. Lan, kena pandai untuk pastikan tiada pihak berkecil hati.” Sambungnya selepas Mazlan sama-sama ketawa.

Keperitan Burhan mengendalikan program dengan hanya pertolongan beberapa teman benar-benar menyebabkan Mazlan simpati. Kelab sudah nampak sedikit berpecah kerana Huzairi yang banyak menentang Burhan menganjurkan program yang lebih bercorak kembara. Ramai juga yang mengikutnya mengendalikan program seminggu di Taman Negara Pahang terutamanya ahli kelab yang merokok. Mazlan tidak sampai hati meninggalkan Burhan terkapai-kapai. Banyak arahan Burhan diturutkan sahaja.

Mazlan mula beralasan untuk balik ke rumah setiap hujung minggu kerana mengikuti Burhan berkempen. Perjuangan sudah mula dirasa nikmat masam manisnya. Dia akhirnya mengerti betapa perjuangan bukan sesuatu yang mudah. Jalan penuh ranjau. Burhan pula mahu Mazlan mengikut setiap aktiviti malah kadang-kadang sengaja dia mencipta alasan supaya Mazlan mewakilinya.

Sebenarnya Burhan sudah mahu melepaskan segalanya kepada Mazlan. Kredibiliti dan kepimpinan Mazlan menjadikannya calon paling sesuai untuk meneruskan perjuangan dalam kelab ini. Perjuangan demi ummah. Pelbagai usaha Burhan lakukan untuk memastikan Mazlan setia dengan kempen-kempeb. Bahkan Mazlan juga mencurahkan sepenuh kasih seorang abang untuk memastikan hubungan yang terbina bukan sekadar kerana dia tetapi juga kerana ummah. Pada Burhan persahabatan yang terbina sesama teman adalah ubat yang paling ampuh bila kempen-kempennya mendapat tentangan. Apabila Mazlan berada di sisi dia merasakan suntikan semangat bertambah. Maklum sahaja, hanya Mazlan yang setia menurutnya kemana sahaja.

“Abang, tidak nampak orang lain yang boleh meneruskan perjuangan ini kecuali Lan. Abang harap Lan akan meneruskan usaha ini sehingga semua orang sedar betapa merokok itu membinasakan orang lain. Membunuh.”

Persahabatan mereka bertambah akrab. Mazlan sudah mula melebihkan Burhan dan perjuangan berbanding Abah. Ajakan Abah selalu diketepikan Mazlan dengan alasan banyak sekali urusan akademik. Menipu itu bukan ajaran Burhan, tetapi Mazlan memang terpaksa menolak kerana masa begitu berharga sekali. Dia tidak boleh lagi bersenang lenang. Semuanya terpaksa diisi dengan baik. Malam dia banyak menghabiskan masa berbincang tentang pelaksanaan kempen. Hujung minggu juga kadang-kadang terpaksa dikorbankan masa jika ada majlis lebih besar. Lantaran itu waktu belajar betul-betul dimanfaat. Burhan pula sudah seperti seorang ayah, nasihat diberi selain banyak pergerakan Mazlan dipantau. Dia tidak mahu Mazlan kecundang dalam akademik dan juga perjuanga.

Satu perasaan aneh mula timbul. Burhan seolah-olah tidak mahu Mazlan pulang hujung minggu menemani keluarga. Dia seolah-olah mahu Mazlan membalas segala jasa dan tunjuk ajarnya dengan pengorbanan persahabatan tambahan pula itulah semester terakhirnya. Penghujung semester menyebabkan dia lebih-lebih lagi bertindak. Cuba mengikat persahabatan antara mereka dengan baik. Mazlan dalam diam sudah merasainya. Perangai Burhan dilayan sahaja kerana dia tahu masa Burhan berkuasa sudah sampai ke penghujung.

Waktu berlalu pantas. Burhan berjaya mendapat pekerjaan yang baik. Kesibukan dalam kerjaya menyebabkan dia kurang masa untuk mengikuti langkah Mazlan. Manakala Mazlan pula sudah bertambah besar langkahnya. Tetapi hujung minggu banyak dihabiskan di rumah bersama keluarga. Ajakan Burhan mula ditolak. Dia kembali merasai betapa hubungan darah itu tetap yang pertama. Cinta isteri pertama tidak pernah sama dengan cinta isteri kedua.

“Ayah kena strok malam tadi. Aku rasa kau kena balik.” Jalil, adik Burhan menelefonnya padi tadi sesudah subuh.

“Teruk ke?” Tanya Burhan.

“Entah. Pagi ni baru doktor pakar nak tengok. Kau balik la cepat. Ambil flight tau.” Burhan diam. Berfikir sejenak.

No comments: