Tinggal di Kuala Lumpur memang mengujakan. Semuanya menarik untuk diterokai. Bandar moden ini mengakibatkan Kamil sentiasa teruja untuk menikmati segala kesenangan. Wang gajinya sentiasa saja tidak pernah puas digunakan. Pakaian Kamil memang sentiasa bertambah setiap bulan. Begitu juga dengan kasut dan jam tangan yang kadang-kadang ditukar agak kerap walaupun bukan sebulan sekali. Zaman kanak-kanak yang agak menyulitkan menyebabkan Kamil mempunyai impian untuk merasai semua keperluan tersebut. Jika selama ini segalanya hanya sekadar mimpi, kini Kamil ingin merealisasikan. Begitu juga dengan makanan, saban hari Kamil menikmati hidangan yang enak. Padanya gaji yang ada perlu dinikmati dengan seenaknya. Duit simpanan pula tidak pernah dilupai, pasti Kamil memperuntukan sedikit sebanyak. Paling Kamil tidak lupa adalah pada keluarga di kampung. Sekurang-kurangnya seratus Kamil kirim untuk kedua orang tuanya.
Menjadi kebiasaan Kamil untuk keluar berseronok setiap hujung minggu. Tidak sampai menghabiskan duit di kelab malam tetapi cukup dengan menghabiskan sedikit wang untuk membeli kehendak dirinya dan paling penting menikmati makanan yang lazat-lazat. Dalam setahun Kamil pasti akan merehatkan badan dengan melancong di dalam negera. Selama dua tahun bekerja banyak juga tempat yang dilawati seperti Langkawi, Cameron Highland, Sandakan dan Pulau Tioman.
Kamil merasakan yang hidupnya sempurna. Walaupun gajinya tidaklah terlalu lumayan tetapi segalanya cukup untuk dirinya dan keluarga. Sekurang-kurangnya kebanyakan barang yang diimpikan berupaya dinikmati. Bahkan Kamil juga tidak lupa untuk memperuntukkan sedikit perbelanjaan untuk menghiburkan kawan-kawan. Padanya kawan menyumbang kepada pelbagai punca kegembiraan dan kesedihan. Tinggal jauh daripda keluarga mengajarnya untuk menghargai hubungan dengan teman-teman di sekitar. Banyak cerita sedih dan manis yang disimpannya di sanubari.
Badrul muncul ditengah-tengah keseronokan menikmati indahnya kehidupan di Kuala Lumpur apabila menyewa bersama setelah berpindah tempat kerja. Jauh beza perangai Badrul dan Kamil tentang kehidupan di bandar moden ini. Badrul seperti tidak menikmati segalanya. Pakaian yang ada jarang sekali ditambah. Apatah lagi memiliki koleksi pakaian, kasut dan jam yang mahal. Makan pula sekadar mencukupi dan tidaklah mengikut kehendak rasa untuk menikmati segalanya. Jadi Kamil memandang Badrul sebagai lelaki yang kedekut. Badrul memang benar-benar kedekut orangnya. Jarang sekali Badrul membeli makanan untuk dirasai bersama. Kalau ada cuma setelah dipaksa dengan pelbagai sindiran. Kalau keluar menikmati makanan bersama Badrul akan hanya menunggu dan berdiam diri sehingga makanan dibayar. Kalau diminta untuk dikira asing dia adalah orang terakhir bersuara, jadi duit orang lain yang berbaki itu memang menjadi miliknya. Malah jika bayaran dikongsi bersama Badrul akan membayar dengan harga yang tepat sehingga setaip sen dikira. Kamil memang makan hati dengan sikap Badrul tersebut.
Hal-hal melibatkan kewangan Badrul memang terlalu berkira. Lalu Kamil memilih untuk tidak mencampuri urusan Badrul. Marahnya pada Badrul tidak dapat dibendung terutamanya mengenangkan sifat kedekutnya itu. Makanan yang dibeli Badrul sentiasa dimakan seorang diri dan disimpan di biliknya. Mengharapkan Badrul membeli makanan untuk dinikmati bersama memang sia-sia. Tidak pernah dibuatnya. Namun segalanya berubah selepas Kamil mengikut Badrul pulang ke kampung.
-bersambung-

No comments:
Post a Comment