Monday, May 18, 2009

Cerita sebuah Kebencian ii

Perjalanan ke Kelantan memang panjang adalah antara penyebab Kamil mengubah kembali keputusannya mengikut Badrul balik. Azlan dan Faisal yang kecewa dengan keputusan Kamil tidak mahu menyertai mereka memujuk beberapa kali. Badrul juga beria-ria mempelawa. Azlan memberikan beberapa insentif kepadanya supaya mengikut mereka. Membeli-belah di Rantau Panjang dan Wakaf Che Yeh, mandi-manda di Pantai Cahaya Bulan, melawat perusahaan batik, melihat orang membuat kerepok lekor serta paling hebat Kamil tidak payah memandu atau membayar bil minyak. Kamil tidak juga berganjak dengan prinsipnya kerana dia tidak kisah pasal semua itu termasuk perbelanjaan tetapi yang ditakutinya adalah merasai kedekutnya Badrul. Namun, akhirnya Kamil tewas. Dia mengikut juga. Pujukan Azlan berjaya.

Mereka bertolak lewat seawal 4. 00 pagi. Subuh di Bentong. Kemudian singgap sarapan pagi di Raub dan sekali lagi singgah melepaskan letih di Gua Musang. Perjalanan awal pagi dipilih supaya tidak tersesak dengan kereta kerana cuti Hari Buruh. Memang pilihan tepat, mereka dapat lari daripada masalah tersebut. Sebelum sampai ke rumah Badrul, mereka singgah di Wakaf Bharu kerana Badrul membeli buah dan juga makanan ringan untuk keluarga. Terkejut juga Kamil kerana banyak sekali buah yang dibelinya.

Mereka sampai di rumah Badrul jam 1.30 tengah hari. Makanan sudah siap dan emaknya meminta kami makan dahulu sebelum berehat. Rumahnya sederhana besar, elok untuk keluarga yang mempunyai tujuh adik-beradik. Ada tiga orang adiknya yang masih tinggal bersama kedua orang tuanya. Dua belajar di sekolah menengah dan seorang bakal menghadapi UPSR. Abangnya yang sulong tinggal di sebuah rumah selang beberapa rumah dari rumah ibu itu. Petang itu mereka sekadar berehat, namun Kamil tidak dapat melelapkan mata kerana dia sudah banyak tidur sepanjang perjalanan. Suara riang Badrul sekeluarga di ruang tamu rumah sedikit sebanyak mengganggu. Memang kesemua ahli keluarganya gembira dengan kepulangan Badrul.

Selepas Solat Asar, mereka ke Pantai Sri Tujuh menikmati pantai yang indah dan berombak besar sambil minum air kelapa. Sebelum pulang Badrul meminta untuk singgah membeli sate. Itulah pesanan adik bongsunya, Bakhtiar sebelum mereka melangkah pergi. Malam itu, sate menjadi hidangan makan malam. Kata Bakhtiar, itu menu wajib jika Badrul pulang. Hanya bila Badrul pulang mereka dapat menikmati makanan seenak itu. Abang sulongnya, Jamil juga menyertai bersama isteri dan dua orang anaknya. Baru mereka bertiga mengetahui yang Badrul banyak membantu keluarga dari segi kewangan termasuk membelikan kereta untuk keluarga. Cuma kereta itu digunapakai oleh abang sulongnya lantaran che tidak pandai memandu. Che adalah panggilan mesra Badrul kepada ayahnya dan mek pula kepada ibunya.

Kamil menjadi begitu rapat dengan Bakhtiar kerana banyak sekali soalan yang ditanya tentang kerjaya sebagai seorang arkitek. Bakhtiar sebenarnya menanam cita-cita tersebut sudah lama dan dia mahu menggunakan peluang mengenali akitek muda itu dengan baik. Kamil juga tidak mahu lokek jadi semua ilmu dicurahkan. Dalam bercerita tentang perjalanan hidupnya itulah Kamil mendapat tahu betapa besarnya pengorbanan Badrul kepada keluarga dari segi kewangan. Sebulan Badrul memberikan hampir separuh daripada wang gaji kepada che dan mek. Kata Bakhtiar mek dia selalu menjadikan Badrul sebagai contoh, betapa Badrul seorang anak yang baik.

Malam itu tidur Kamil terganggu sekali. Dia ternyata jauh tidak sesempurna Badrul. Lantaran kehidupan keluarga yang sedikit senang, Kamil hanya memberikan RM200 kepada ibubapa dan gaji yang selebihnya digunakan untuk dirinya sendiri terutama pada makan dan pakai. Banyak sekali duit yang dihabiskan untuk menunjukkan dia tidak kedekut tetapi dia sebenarnya telah melakukan kesilapan besar. Badrul adalah seorang anak yang patut dicontohi sebenarnya. Namun Kamil masih sedikit menyalahkan Badrul kerana terlalu berkira terhadap teman-teman. Ego Kamil masih ada tetapi dia bertekad untuk seboleh-bolehnya tidak terlalu memang enteng kepada Badrul.

Ternyata kembara ke Kelantan membawa maksud tersendiri. Dia banyak belajar tentang erti kehidupan, keluarga dan persahabatan. Negeri Kelantan sendiri sebuah negeri yang unik. Lawatan ke kilang batik, kilang keropok, kilang dodol, kilang serunding dan kilang laksam juga meninggalkan satu kenangan yang sukar dilupakan. Diabadikan semua kenangan itu dengan satu bekas pensil kayu yang ditulis, ‘Cerita sebuah kebencian berakhir dengan teladan pengorbanan seorang anak’.

No comments: