Banyak perkara yang perlu diteliti demi mendirikan satu perkahwinan. Kahwin ini bukan perkara-perkara remeh temeh seperti ‘main jual’. Oleh itu, berkahwin memerlukan wang cukup untuk menawan hati gadis dan juga keluarga. Persediaan kewangan bukan sahaja untuk masa kahwin dan wang hantaran malah segala perbelanjaan melibatkan kenduri perlu diteliti dan dicukupkan. Mungkin kita mahu adakan seada-adanya tetapi ibu bapa mahu diadakan dengan hebat sekali. Bahkan banyak lagi perkara tentang perkahwinan yang terpaksa dibuat demi menjaga hati ibu bapa dan juga mertua. Lantaran itu wang simpanan hasil berjimat-cermat selama bertahun-tahun habis begitu sahaja. Aku pula bukan jenis yang boleh menyimpan, jadi satu kerugian besar kepadaku kerana berkahwin menyebabkan aku kehilangan wang yang banyak! Cuba bertanya kepada kawan-kawan yang seusia, pastinya wang disimpan adalah untuk perkahwinan. Satu penderaan psikologi yang hebat kepada lelaki. Menyimpan wang untuk dihabiskan. Sama seperti tidak menyimpan!!!??
Hantaran yang tentu besar belanjanya
Berkahwin bermaksud menerima satu tanggungjawab yang baru. Kalau di pejabat, kita sering tidak mahu menerima satu bebanan tugas baru dengan bebanan tugas yang sedia ada. Seorang lelaki sudah sedia terbeban dengan harapan keluarga yang mahu menumpang sedikit sebanyak wang dan kasih sayang terutamanya. Perkahwinan mengakibatkan kita menerima satu beban untuk menanggung kehidupan seorang perempuan dan satu lagi keluarga dari segi kewangan dan kasih-sayang. Aku tidak punyai begitu banyak wang dan kasih-sayang yang boleh dikongsi. Aku juga tidak sanggup untuk menghadapi tekanan kesedihan dan kerungsingan, jadi kenapa aku perlu kahwin jika semuanya boleh diabaikan jika aku memilih untuk membujang.
Waktu-waktu riang dan bersosial juga akan hilang jika aku sudah memilik isteri. Pergerakan tentu sahaja terbatas. Aku nanti tidak boleh menelefon teman-teman perempuan yang sedia ada kerana isteri akan cemburu. Keluar bersosial dengan teman-teman baik juga menyebabkan isteri membebel. Kalau menghabiskan kebanyakkan malam dengan pelbagai pertemuan untuk merancang kerja-kerja kemasyarakatan juga akan disindir isteri kerana masa tidak banyak. Lalu, perlukah aku berkahwin kerana kehidupan sosial ini aku tidak boleh korbankan? Juga aku tidak mahu menjadi seperti beberapa teman yang senyap selepas kahwin.
Lebih banyak beban bermakna lebih banyak dosa, lebih banyak dosa menjadikan aku lebih menderita. Ah, aku tidak mahu menerima azab neraka.
Aku berfikir sejenak mencari kebenaran disebalik maksud kata ini. Akhirnya aku temui beberapa ayat Al-Quran dan hadis Rasulullah yang boleh dijadikan panduan.
Dari Abdullah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: “Hai para pemuda! Sesiapa di antara kamu yang telah sanggup memikul tanggungjawab berumahtangga, maka kahwinlah! Kerana perkahwinan itu dapat menundukkan mata dan kemaluan (dari dosa). Siapa yang belum sanggup, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu dapat menundukkan nafsu berahi.”
"Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya, Dia menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antara kamu kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar benar terdapat tanda tanda bagi kaum yang berfikir." (Al Rum: 21)
Dari Anas r.a., katanya: Ada tiga macam orang datang ke rumah isteri-isteri Nabi s.a.w. menanyakan tentang hal bagaimana ibadahnya Nabi s.a.w. Kemudian setelah mereka diberitahu lalu seolah-olah mereka menganggap amat sedikit saja ibadah beliau. s.a.w. itu.
Mereka lalu berkata: “Ah, di manakah kita ini – maksudnya: Kita ini jauh perbezaannya kalau dibandingkan – dengan Nabi s.a.w. sedangkan beliau itu telah diampuni segala dosanya yang lampau dan yang kemudian.”
Seorang dari mereka itu berkata: “Adapun saya ini, maka saya bersembahyang semalam suntuk selama-lamanya.” Yang lainnya berkata: “Adapun saya, maka saya berpuasa sepanjang tahun dan tidak pernah saya berbuka.” Yang seorang lagi berkata: “Adapun saya, maka saya menjauhi para wanita, maka sayapun tidak akan kawin selama-lamanya.”
Rasulullah s.a.w. kemudian mendatangi mereka lalu bersabda: “Engkau semuakah yang mengatakan demikian, demikian? Wahai, demi Allah, sesungguhnya saya ini adalah orang yang tertaqwa di antara engkau semua kepada Allah dan tertakut kepadaNya, tetapi saya juga berpuasa dan juga berbuka, saya pun bersembahyang tetapi juga tidur, juga saya suka kahwin dengan para wanita. Maka barangsiapa yang enggan pada cara perjalananku, maka ia bukanlah termasuk dalam golonganku.” (Muttafaq ‘alaih)
Lalu aku bertanya sendirian. Bolehkan aku menahan nafsu dengan terusan berpuasa? Bagaimana mahu menangani fitrah berpasangan? Adakah berkahwin itu punyai pengaruh dalam tanggungjawabku sebagai khalifah? Perkahwinan itu sekadar demi kepentingan individu atau demi memenuhi kepentingan sosial masyarakat Islam? Adakah aku melarikan diri dari satu tanggungjawab atau menyelesaikan satu bebenan?

No comments:
Post a Comment