Thursday, April 30, 2009

Seteguk Air Kelapa

Menikmati air kelapa semasa menjalankan kajian di Melaka semalam cukup mengasyikkan. Singgah di kampung Abang Rizal dengan membiarkannya mengait kelapa muda ternyata menghilangkan haus dengan cuaca yang panas. Kepakaran Kak Zana memilih buah muda memang mengujakan. Budak kampung sejati. Ternyata dia tahu yang mana benar-benar muda atau sekadar elok untuk dibuat kuih. Aku, masihkan ada nilai kampungnya?


Waktu kecil-kecil dahulu air kelapa biasanya menjadi hidangan waktu berbuka. Akhir Syaaban, Abah sudah mengupah orang memanjat pokok kelapa di dusun peninggalan Ayah. Kemudian beberapa minit sebelum berbuka kami akan mengerjakan kelapa muda tersebut. Abah memang lebih suka memilih kelapa muda berbanding air tebu kerana katanya air tebu akan menyebabkan batuk. Hari-hari biasa jarang sekali kami minum air muda bersama-sama. Cuma aku selalu singgah di kedai Pok Teh membelinya sebaik sahaja pulang dari sekolah. Kadang-kadang aku menukar citarasa kepada air tuak kelapa.


Kelapa yang sudah sedikit tua biasanya kami hanya mengambil air sahaja, isinya akan dihadiahkan kepada umi. Kemudian kami akan dihadiahi dengan kuih yang enak seperti onde-onde atau buah melaka dan puteri mandi. Kalau bukan bulan Ramadhan tentu kelapa sedang-sedang muda itu dihidangkan dengan pulut bersama gula dan ikan kering. Oh, sarapan yang sedap sekali!


Air kelapa ini betul-betul mengingatkan aku tentang petua demam campak. Waktu aku masih kanak-kanak dan menghidapi demam campak, Abah menyuruh aku mandi dengan air kelapa selepas demam campak sudah beransur sembuh. Alasannya supaya tidak meningggalkan parut. Aku mematuhinya tetapi silapku adalah membilasnya dengan air paip. Abah yang hampir-hampir marah membelah lagi sebiji kelapa dan menyuruh aku mandi sekali lagi tanpa membilas. Mujurlah aku demam kalau tidak mahu mendapat sedikit balasan. Ah, garang Abah masih boleh dirasai hingga kini. Tapi petua ini cukup berbeza dengan sesetengah negeri lain. Ada yang menyuruh mandi dengan air kelapa sewaktu demam campak bermula supaya semua biji-biji merah itu keluar segera.


Air kelapa sebenarnya mengandungi gula yang tinggi. Jadi kalau ada diabetes jangan menikmatinya terlampau banyak. Jika dijangkiti denggi, minum sahaja air kelapa muda tanpa ais atau isinya , tetapi perahkan dulu dua biji limau nipis. Insyaallah mujarab. Pernah dibuat pada adikku dan terbukti khasiatnya. Ada lagi tak petua air kelapa yang boleh dikongsi?


Aku juga mahu anakku menikmati air kelapa muda seperti aku nikmati semalam. Jadi halaman rumahku kelak perlu ditanam dengan sebatang dua pokok kelapa. Kalau dapat daripada jenis kelapa gading lagi bagus supaya reneknya senang dipanjat atau digait. Sekurang-kurangnya anak aku masih boleh mengenali pokok kelapa. Tidaklah terlalu jakun nanti melihat pokok kelapa. Kalau sedikit tinggi masih ada gunakan. Kelak boleh memanggil tuan dan monyetnya memanjat. Oh, sudah lama tidak melihat monyet memanjat kelapa.

1 comment:

Wan Syahida said...
This comment has been removed by the author.