Tuesday, April 21, 2009

Membazir Sahaja Beli Semua Ni?

Paling aku tidak boleh lupa tentang membazir adalah sewaktu bulan puasa beberapa tahun lalu. Waktu sahur itu kami makan sedikit sahaja nasi kemudian meninggalkan bakinya dalam pinggan. Bermula dengan adik-adik kemudian aku juga. Abah marah betul. Katanya, kalau tahu tak ada selera, isi nasi yang terhidang itu ke dalam pinggan nasi tambah sebelum makan. Kalau makan tidak habiskan itu membazir. Tambahnya lagi, bukan senang mencari rezeki itu.

Berkunjung ke KLIBF membuatkan aku sedikit terfikir tentang membazir. Bolehkan membeli buku juga membazir. Kalau aku menghabiskan beratus-ratus ringgit, adakah aku membazir? Sewaktu zaman sekolah dulu aku merasakan pembaziran berlaku apabila kita membeli komik dan juga majalah picisan. Tetapi tentu sekali ramai yang tidak setuju. Buku-buku ini tentunya menarik buat mereka dan perlu untuk diikuti. Mungkin ada yang beranggapan membeli majalah Men’s Health adalah satu pembaziran tetapi mungkin sesetengahnya tidak. Persepsi berbeza.

Makanan jika tidak dihabiskan membazir. Pakaian kalau dibeli tidak dipakai membazir. Sesuatu yang dibeli secara berlebih-lebihan adalah membazir. Mungkin kerana itu pernah seorang teman memberitahu bahawa membeli buku banyak-banyak kemudian tidak membaca adalah satu pembaziran. Aku termenung berfikir beberapa kali. Banyak lagi buku yang belum aku baca di rak. Maka aku memang membazir, begitu? Tetapi kalau buku itu ada kegunaannya tentu sahaja tidak membazir. Mungkin hari ini tidak terbaca, suatu hari nanti aku mungkin membacanya. Kalau tidak dibeli kini, nanti kalau habis dipasaran tentu sekali rugi tidak memilikinya. Oleh itu, masihkah lagi ada pembaziran?

Menghabiskan duit beratus-ratus atau mungkin beribu-ribu untuk membeli buku adakah sama dengan membeli pakaian atau aksesori yang sangat mahal? Aku menjadi bertambah celaru. Memang aku mengakui yang aku cukup meminati buku, oleh itu membeli buku itu satu kemestian. Pada mereka yang gemar mengumpul replika kereta, tentu tangapan berbeza dengan mereka yang mengumpul barang antik. Lalu sejauh manakah membazir itu boleh dibahaskan. Bertambah pening.

Ruang kosong almariku yang masih dibazirkan (dahulu)


Mari kita mengukur pembaziran dengan cara begini. Kalau diberi RM2K, bagaimana kita menghabiskannya. Kalau kita habiskan kebanyakannya untuk membeli barang yang tidak perlu, kita sudah membazir. Kalau kita simpan dan sedekahkan sedikit, tentu kita tidak membazir.

Aku mendengar Ibnu 'Abbas berkata: "Aku bermalam di rumah bibiku Maimunah. Nabi Saw. berdiri, lalu berwudhu dari air yang tersimpan dalam kulit. Beliau jimat sekali dalam menggunakannya. Lantas akupun berdiri dan berbuat seperti yang beliau perbuat." (Hadis Sunan Ibnu Majah)

Pengambilan wudhu dengan membiarkan air mengalir deras adalah satu pembaziran. Jika melakukan satu amalan sunat juga membazir tentu sekali membeli buku boleh mengakibatkan pembaziran. Mungkin hadis ini boleh menyelesaikan persoalan ini.

Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Sesungguhnya Allah menyukai bagi mu tiga perkara dan membenci tiga perkara. Yang disukainya: (1) Hendaklah engkau sembah Dia dan jangan dipersekutukan dengan sesuatu apa pun; (2) Hendaklah kamu semua berpegang teguh dengan agama-Nya, dan (3) Hendaklah kamu jangan berpecah belah. Yang dibenci-Nya: (1) Banyak desas-desus; (2) Banyak bertanya; (3) Menyia-nyiakan harta (membelanjakan harta tidak sesuai dengan ketentuan agama, dan pemboros)."

Atau masih ada yang mahu menyatakan sesuatu.

1 comment:

nurain said...

kadang2 kemahuan mengatasi keperluan...ketika itu biarlah akal mengatasi nafsu...daaa...