Ingat lagi waktu mula-mula aku ingin menderma darah dahulu, berat waktu itu adalah 48 kg. Doktor itu cakap, tambah lagi berat! Aku yang rasa sudah begitu berat terkebil-kebil. Sekarang beratku sudah meningkat hampir 20kg. Satu peningkatan yang memberansangkan. Maka kini aku giat berusaha untuk mengurangkan berat. Tidaklah mahu kembali kepada berat asal tetapi cukuplah kepada berat ideal. Berapa? Sudah capai matlamat nanti aku sebarkan.
Aku cuba kumpulkan beberapa strategi untuk mengurangkan berat badan. Kesimpulannya, untuk kembali kepada keadaan fizikal asal aku perlu melakukan perubahan kepada pemakanan, menu harian dan aktiviti fizikal. Elok tumpukan sahaja kepada kaedah mengubah corak pemakanan.
Ada beberapa tip yang disarankan (sebuah buku yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan), iaitu
- Katanya: Makan ikut keperluan harian iaitu bergantung kepada umur, jantina, status aktiviti dan pekerjaan.
- Kataku: Maka sibuk aku mencari buku untuk mengkaji keperluan harian sehingga akhirnya menemui buku Cergas 24/7 oleh Kelvin Zahri. Jumpa juga dengan kaedah mengira Keperluan Kalori Harian (Daily Calorie Requirement-DCR).
DCR =Kadar Metabolik Basal (Basal Metabolik Rate-BMR) x Pendarab Aktiviti (physical activity coefficient)
BMR lelaki = 66 +[13.7x berat badan(kg) + {5 x tinggi (cm)} – {6.8x umur (tahun)}]
BMR perempuan = 665 + [9.6x berat badan(kg) + {1.8 x tinggi (cm)] – [4.7 x umur (tahun)}]
Jadi, BMR aku = 1527.8
DCR =1527.8 x 1.55 (sederhana aktif) =2383.59 kalori
*pendarab aktiviti : duduk =1.2, aktivit ringan = 1.375, sederhana aktif =1.55, aktif = 1.725, sangat aktif = 1.9
- Katanya: Untuk mengurangkan berat badan sebanyak 0.5kg ke 1kg seminggu, pengurangan 500 kalori/hari dengan pengurangan 250 kalori melalui makanan dan peningkatan aktiviti fizikal sebanyak 250 kalori perlu dilakukan.
- Kataku: Lantaran itu, aku perlu kurangkan DCR kepada 2100 kalori (lebih kurang). Tetapi masalah lebih besar adalah untuk meningkatkan aktiviti fizikal sebanyak 250 kalori sehari. Bukan senang untuk melakukan pengurangan 500 kalori. Biasalah, kalau balik kerja penat atau hujan mencurag-curah tentu sahaja aktiviti fizikal terbantu. Kalau ada makanan terhidang mesti lebih teruk lagi.
- Katanya: Kurangkan makanan yang tinggi kandungan lemak seperti makanan bergoreng, mengandungi santan dan lemak haiwan.
- Kataku: Oh, tidak! Semuanya tidak boleh dimakan. Masak lemak ayam, kari ayam dan banyak lagi. Jadi setiap hari sup sayur, sup ayam tanpa kulit dan ikan singgang. Bolehkan aku bertahan? Sendiri aku ketawa.
- Katanya: Lebihkan pengambilan sayur, ulam-ulaman dan buah-buahan. Ianya berkalori rendah dan memberi rasa kenyang lebih lama.
- Kataku: ulam memang kegemaran, cuma di sini tidak banyak seperti di kampung. Masih mencari alasan. Buah juga banyak tetapi lebih kebaratan, namun selalu sahaja aku makan buah tetapi tidaklah terlalu kerap. Barangkali lepas ini peti ais aku perlu sentiasa dipenuhkan dengan sayur, ulam dan buah. Pastikan epal hijau, oren dan pisang sentiasa ada!
- Katanya: Pilih atau sediakan makanan dengan cara mengukus, merebus, memanggang dan jika menggoreng sedikit minyak sahaja.
- Kataku: Eh, boleh menggoreng rupanya, tetapi bagaimana mengurangkan minyak kalau menggoreng ayam atau ikan? Mengukus, masalah utama dalah tiada pengukus. Perlu segera dibeli termasuk kuali tidak melekat. Maklum sahaja tidak ada ketuhar di rumah jadi perlu dapatkan kuali tersebut untuk memanggang. Penting dan segera; kuali tidak melekat, pengukus nanti dulu.
- Katanya: Kurangkan minuman manis, gantikan dengan air kosong dan minum secukupnya (8 gelas sehari).
- Kataku: Nampak seperti senang bunyinya, tetapi hati sahaja yang tahu beratnya. Bukan senang minum air kosong sahaja. Ada lagi tambahan petua supaya minum air selepas 20-30 minit selepas makan. Paling penting padaku, dalam sehari mesti ada segelas air manis terutamaya sarapan pagi. Malam kalau begitu lapar tentu sahaja mai secawan. Masih bolehkah begitu?
Mengubah lanskap pemakanan bukan senang. Kelvin Zahri mengingatkan supaya kita mengubah corak pemakanan yang boleh bertahan lama, jangan berdiet untuk waktu yang singkat saja. Benar sekali, aku cuba diet protein tanpa karbohidrat sekadar bertahan beberapa hari sahaja. Makan sup sayur campur ayam sampai rasa muak dan nak muntah. Ah, tidak boleh! Sekarang ini aku sudah berjaya mengelakkan beberapa perkara seperti minuman bergas, makanan ringan dan minuman berais. Mungkin lepas ini kena kurangkan makanan bergoreng dan berminyak. Eh, sup ayam juga banyak minyakkan?
Makanan yang perlu dijauhkan
Paling penting dalam mengubah cara pemakanan adalah tekad dan azam. Nafsu memang selalu mempengaruhi. Lantaran itu, iman perlu benar-benar kuat melawan godaan. Aku selalu saja tewas dengan makanan yang terhidang. Inilah masalah besarku! Minggu depan ada mesyuarat di hotel, aku sudah termenung.

5 comments:
bgs2 info ni sume tq...mari kite mengamalkan gaya hidup sihat :))
betul peng.ambo setuju.ambo pon sjk keje koho naik bangat,huhu.bagus info ni.br ambo th BMR ambo, 2909.8..tinggi jgk tu.huhuuu..mnt izin maklumat yg dipost ni utk blog ambo..
ooo.. sambutan menggalakkan...
eisha: tunggu sambungan lagi
saffmukmin: bereh...
ada sedikit perubahan pada formula BMR lelaki... salah fakta.. maaf
you are what you eat
Post a Comment