Berapa target berat badan yang diingini? Apakah pengukur kepada kesempurnaan bentuk badan? Setiap punya cita-cita tersendiri untuk memiliki bentuk badan bagaimana. Sebahagian sekadar mahu kelihatan tidak terlalu gemuk dan dikategorikan sebagai berat badan ideal iaitu dengan BMI 20-23. Mungkin ada lelaki yang mahu memiliki six pack dan bagi kebanyakan perempuan pula mahu kelihatan cantik seperti model. Walaubagaimana bentuk badan yang diingin paling penting adalah perancangan penurunan berat badan.
Kebanyakan buku mencadangkan supaya berat badan kita menurun sebanyak 10% dalam masa 6 bulan. Jadi tidaklah terlalu banyak. Penurunan berat badan yang drastik hanya mengakibatkan diet yo-yo sahaja, iaitu makan sedikit sebelum mendapat bentuk badan, kemudian kembali melantak selepas cita-cita tercapai. Akhirnya badan kembali membesar. Oleh itu, penurunan berat badan bukan satu proses sementara tetapi sebenarnya adalah satu proses gaya hidup. Kita perlu mengubah cara pemakanan kita untuk sepanjang hanya supaya berat badan sentiasa dapat dikawal.
Aku sendiri sudah mencuba untuk melakukan beberapa diet tertentu tetapi ternyata tidak berjaya. Pernah mencuba diet protein iaitu tanpa mengambil karbohidrat dalam sehari. Oleh itu yang dimakan hanyalah protein dan sayur sahaja. Pagi-pagi lagi sudah menikmati sup sayur dengan sedikit ayam. Juga pernah tidak mahu makan nasi, suatu sistem yang hampir sama. Namun kedua-duanya menemui jalan buntu. Kini aku mengambil pendekatan lebih realistik iaitu mengira saiz hidangan.
Sebelum ini, aku sudah mengetahui keperluan kalori harian, jadi aku harus mengambil mengikut keperluan tersebut. Setiap hidangan dikira kalorinya berdasarkan panduan buku kalori yang ada. Kementerian Kesihatan ada menyediakannya dan buku Kelvin Zahri juga mempunyai panduan tersebut. Sekarang aku cuba menulis makanan yang dimakan dan menghitung kalorinya. Setakat ini aku masih boleh bertahan. Maklum sahaja baru awal minggu memulakannya. Ayuh, mari kita lihat perubahan yang berjaya aku lakukan.
Ada yang mahu menyertai?
Barangkali kalau ada yang ingin menyertaiku, mari kita sama-sama memantau pemakanan kita supaya kita menjadi lebih bersemangat.
Beberapa perkara yang perlu dititikberatkan dalam menyediakan menu harian ini adalah mengurangkan pengambilan makanan secara beransur-ansur, rancang menu yang ingin dimakan setiap hari, makan mengikut waktu yang tetap lagi teratur, elakkan melangkau waktu makan dan pastikan menu tersebut enak, berkhasiat, kurang lemak serta paling penting menepati citarasa.
Kadang-ladang kita memerlukan juga makanan yang enak. Bolehkan kita memimati sesuatu yang di luar ruang lingkup makanan seimbang? Boleh tentunya dan inilah yang dianggap ganjaran. Katakan kita mengambil lima hidangan sehari. Dalam sebulan lebih kurang 150 hidangan. 10 % daripada hidangan itu boleh dijadikan ganjaran atau dengan kata lain boleh menikmati makan yang diingini. Kelvin Zahri mengkatogerinya makanan ganjaran sebagai makanan hadiah iaitu makanan yang tidak seimbang.


No comments:
Post a Comment