
Kita selalu memilih untuk berdampingan dengan kawan-kawan yang boleh diharapkan. Apa yang terjadi jika kawan kita tidak boleh diharapkan? Tentu sahaja kita kecewa. Itulah yang berlaku kepada ku. Mereka semua membelot! Tidak boleh diharapkan! Benci!
Semenjak kecil aku berbaik-baik dengan mereka. Tetapi ada juga yang aku kenali setelah remaja. Namun persahabatan kami memang lama. Sedihnya mereka menikam aku dari belakang.
Kawan aku yang pertama ini dikenali semenjak kecil-kecil lagi. Bangun seawal pagi sudah aku carinya. Sehingga ke larut malam malah aku menemaninya. Kadang-kadang dia yang mengulit aku tidur. Persahabatan kami memang erat. Rindu aku padanya kadang-kadang menjadi. Namun semenjak akhir-akhir ini dia begitu mengganggu aku untuk fokus kepada penulisanku. Kadang-kadang hingga larut malam aku bersamanya mengakibatkan aku penat.
Seorang lagi kawan aku memang aku tidak boleh hidup tanpanya. Tetapi sekarang sudah terbalik, aku seolah-olah hidup untuknya. Beberapa kali aku cuba mengelak untuk berlebih-lebihan dengannya tetapi kurang berjaya. Dia memang pandai menggoda sehingga aku tertewas. Bila aku tertewas habis semuanya rosak. Makin besarlah aku.
Aku berkenalan dengan kawan ketiga ini setelah aku meningkat remaja. Mula membuat keputusan sendiri dan melakukan pelbagai perkara secara curi-curi tanpa pengetahuan orang tua. Tidak mengapa itu untuk kebaikan supaya aku kelihatan lebih berkarisma. Aku tidak sedar sebenarnya, secara perlahan dia menolak aku ke dalam perigi buta. Umi dan Abah sudah menyedari yang persahabatan kami banyak membawa musibah kepadaku. Kemuncaknya aku dinasihati pada hari raya AidilAdha yang lepas. Aku memang seronok berkawan dengannya. Betul-betul menjadikan aku puas. Cuba juga aku lari daripada bersamanya supaya boleh aku manfaatkan waktu dan wang yang ada ke arah lain yang lebih baik. Tetapi aku gagal. Bertemu dengannya ibarat satu terapi. Pandai dia menikam aku perlahan-lahan.
Kawan aku yang terakhir ini memang rapat benar denganku. Tidak pernah aku menyangka yang dia juga mahu menikamku. Hanya beberapa waktu ini ada yang seolah-olah mula mempersoalkan persahabatan kami. Aku mula nampak ada hitamnya dalam perhubungan ini tetapi pada aku dialah yang menjadikan aku benar-benar seorang sahabat kepada yang lain. Padaku masih ada baik dalam hubungan ini malah ada menyatakan kehebatan aku kerananya ada di sisi. Aku makin celaru. Pastinya aku perlukan masa yang agak lama untuk menjauhinya.
Kawan aku yang empat orang ini sudah mula menikam aku perlahan-lahan setelah aku sedikit alpa. Barangkali aku perlu lebih waspada dan bersiap sedia apabila bersama mereka. Mereka adalah teman aku dan mungkin juga teman kamu. Barangkali aku perlu belajar silat supaya mereka tidak boleh menikam aku lagi.
Biar aku khabarkan siapa mereka supaya teman-teman juga boleh berjaga-jaga. Yang pertama itu nenek aku panggil talibesen, kawan baik dia Astro dan TV3. Yang kedua itu tidurnya di bawah saji, selalu saja merosak dietku. Yang ketiga dekat sekali denganku, selalu bertemu di Midvalley untuk menghabiskan duitku. Manakala yang terakhir itu paling dekat dengan hidungku, kata orang lain itulah punca mengumpat. Nanti kalau nampak aku dengan mereka ingatkanlah aku supaya wasapada.

5 comments:
memang dah agak dah dari awal, ni bukan orang ni. ni mesti sesuatu benda. huhu.
haih... tv, makanan, shopping dan mengumpat?
hehe. memang susah... sama la shye pun. itu la namanya manusia yang bernafsu. huhu
hohoho...
huhu.
baguh la 2lisan abe peyuh nie.
ado unsur2 suspen
Shye:: pandainya meneka tapi ada satu yang salah..
along: hihihi
naqiu: hehe, x dok la suspen sangat...
kawan...lain kali belajau silat ngan aku dulu tau. Nana bleh tlong ajau....
Post a Comment