Friday, April 9, 2010

PBAKL: Sesentuh Rasa

Hampir dua minggu PBAKL berlalu, timbunan buku yang aku lihat masih lagi terbayang. Buku yang tidak berjaya dicapai sungguh meniti di hujung mata. Rasa ingin memiliki terus-terusan menyentuh hati. Ah, satu perasaan yang sukar dihapuskan!!

Berbelanja sekadar yang mampu atau miliki segalanya mengikut kehendak hati? Aku memilih untuk memiliki semampu yang ingin. Kunjungan ke PBAKL kali ini hanya sekadar dua kali. Hari pertama aku lunaskan yang wajib. Bergegas pulang selepas kerja untuk menyambar yang perlu. Jadi tidak perlu memilih sekadar melihat dan menilai sebelum membeli kerana senarai sudah ada di nota benak. Sempat berjumpa dengan beberapa insan yang aku kagumi. Tangan sudah letih membimbit dan beg sudah penuh, lalu aku kembali dan berhajat untuk datang lagi.

Hasil hari pertama

Kemudian, aku melangkah pada hari kedua. Ditemani insan istimewa rasa cukup bertuah. Namun hati tidak melangkah bersama. Tangan jadi kaku mahu membelek helaian buku apatah lagi beratur menempuhi hutan manusia untuk memilikinya. Pulang dengan hanya membimbit bingkisan darinya. Janji di hati aku mahu kembali lagi.

Hari terakhir sepatutnya aku melangkah juga. Tapi kaki diikat dengan segala rasa. Hajat membeku dengan pasrah kerana ada rintangan yang menghujani.

Meniti minggu pasca PBAKL cukup mencabar. Ungkapan indah di alam maya dengan segala bicara hebat laksana pedang yang menghiris jantung hati. Aku resah berbaur sedih. Uh, satu perasaan hampa yang tidak terluah.

Namun aku meninggalkan juga perang seminggu dengan luka di seluruh tubuh. Duduk mengubati luka seminggu memang mendamaikan. Aku percaya pada rasa yang silih berganti mengetuk pintu hati. Hutang aku masih bertimbun pada barisan buku yang terlonggok di rak. Memang aku sedia sedar betapa buku yang aku beli dua tahun lepas masih ada yang belum dinikmati sepenuhnya. Lalu aku yakin sambaran kali ini mungkin yang terbaik untuk aku miliki. Aku akur.

Tapi aku degil, sungguh aku mahu melunaskan juga rasa hati. PBAKL 2011 akan aku serang dari setiap penjuru. Aku perlu tajamkan segala senjata yang ada!! Adakah tahun ini adalah sambaran terakhir sebagai seorang jejaka gersang?!

No comments: