Perkahwinan itu lumrah untuk sebuah kehidupan, lalu tiada yang memilih untuk tidak berkahwin. Tentunya aku harus bersedia untuk mengalami alam itu. Namun untuk waktu ini biarlah aku pendam untuk tatapan kalbuku segala rasa untuk sebuah perkahwinan. Kali ini yang ingin aku hulurkan untuk disentuh adalah rasa tatkala insan dikasihi melangkah ke alam itu.
Perkahwinan bukan dibina untuk menghilangkan semua rasa kasih yang ada diri, benarkan begitu? Apakah rasa ada kasih lain dalam diri lagi? Aku teringat detik-detik perkahwinan ibu saudara. Walaupun waktu itu aku masih lagi anak-anak, berlari ke sana ke mari dalam sebuah majlis sederhana, aku boleh merasai betapa dua orang sahabat begitu menikmati saat-saat indah itu. Mereka bagai menikmati detik-detik akhir sebuah persahabatan. Kata mereka, selepas ini ruang waktu untuk berjumpa sungguh sukar. Maklum saja masing-masing punya tanggungjawab sendiri. Benar yang dibicarakan, mereka laksana terpisah oleh laut yang luas selepas itu. Tiada lagi mengutus khabar berita.
Tetapi zaman mereka sungguh tidak sama dengan waktu ini. Kini bukan hanya telefon menemani setiap inci gerak. Paling tidak memiliki ruang berlibur di Facebook untuk mengutus berita. Ataupun miliki teratak blog untuk berkongsi segala jalan hidup. Berbeza sungguhkah zaman mereka dengan zaman kita ini?
Aku sendiri memikirkan detik-detik yang terus berputar sesekali terasa juga dalam hati akan kegusarannya. Waktu sudah suntuk untukku menikmati indah persahabatan. Teman-teman akrab lagi dekat sudah miliki segala aturan untuk kehidupan. Ada yang sudah bertunang, bahkan ada juga yang hanya membilang hari menanti detik bahagia. Terasa waktu ini bagai saat-saat terakhir menjelang hari perpisahan di sekolah dan kampus. Waktu meniti hari-hari terakhir di bangku sekolah hati tidak sekali mahu berpisah bahkan bersungguh mahu terus berutus berita. Hasilnya bagaimana? Boleh dinilai sendiri pastinya. Siapakah teman yang masih akrab di sini hingga kini?
Aku jadi takut mahu menghadapi saat ini. Aku tidak mahu hilang segala bahkan aku juga tidak mahu menyekat indah mereka. Aku masih harus melepaskan segala rasa yang ada perlahan-lahan, kelak nanti tidak tersentap. Betapa hidup ini tidak akan kekal pada jalannya. Semua orang berjalan mencari erti sebuah kehidupan. Langkah sungguh berbeza dan hasrat juga tidak sama. Lalu kita tidak boleh selamanya bergerak senada. Apabila masanya tiba sungguh kita terpaksa melangkah juga.
Aku tumpang seronok untuk detik indah yang bakal berlangsung. Akan kupanjat doa biar jalan yang dilalui tetap indah selamanya. Namun aku tidak boleh membunuh rasa yang lahir dalam diri. Sekejam inikah sebuah perkahwinan?
Persediaan aku untuk alam yang sedang menghimpitku adalah senantiasa bersedia dengan apa kemungkinan. Perlu juga mula bersahabat dengan anak-anak yang masih kecil. Paling tidak bolah sama-sama bermain ‘decok ambak’ bersama-sama walaupun tentunya aku akan kalah. Atau sekurang-kurangnya isi lebih masa dengan berinteraksi dengan buku.

4 comments:
akan tiba masanyo a.peng..
masakan apakah yang tiba itu?
masa menangisi kesedihan sebuah perkahwinan...
atau masa a.peng berkahwin?
"decak ambak" ker?
"ambak decak" la..
huhu
betul la ana..
peng panggil decak ambak
Post a Comment