Friday, September 30, 2011

Belajar di Aidilfitri 3

Aku harap ini bukan tulis penuh ego dan riak. Aduh, sungguh sukar untuk melafazkan. Pagi-pagi lagi sudah ada orang datang ke meja menghulurkan makanan. Tengah hari ada majlis jamuan sana sini. Betapa azab untuk menghabiskan sehari puasa enam. Aku kira semenjak bekerja tidak pernah aku dapat langsaikan puasa enam. Sungguh Rugi!

Kalau di kampung (Kelantan) kebanyakan kedai makan yang tersohor hanya menjual makanan selepas puasa enam. Lalu sehingga hari ke-8 Syawal baru kedai akan dibuka. Sungguh hampa apabila merantau jauh untuk menikmati kelapa goncang (coconut shake) tetapi kedainya tutup. Jika kedai yang dekat-dekat rumah aku boleh sahaja merujuk kepada Mi, dia tahu mana kedai yang buka, mana kedai yang tutup. Orang-orang tua memang bagus, selalu menghabiskan puasa enam dengan awal. Makin lambat disimpan makin berat untuk dihabiskan.

Aku biasanya, awal-awal pagi sudang pasang niat untuk berpuasa tetapi apabila sampai di pejabat tewas. Setiap kali ada makanan terhidang aku pasti kecundang. Pernah juga aku bertanding dengan rakan-rakan. Juga tidak berhasil, meraka sudah selesai puasa enam aku baru bertatih. Bila sudah jauh ditinggalkan aku mula malas. Ada yang mencadangkan supaya berpuasa di kampung sebelum kembali ke KL. Tiada makna! Waktu di kampunglah masa untuk menikmati segala makanan yang lazat. Hari terakhir di kampung Mi selalu menyebut, esok boleh la dia mula berpuasa kerana tanggungjawab sebagai chef selesai.

Benar juga kata seorang teman, lantaran susah menghadapi godaan sepanjang syawal patutnya Rasulullah menyatakan puasa Ramadan diikuti puasa Syawal menyamai puasa setahun. Tahun depan harus berusaha lagi. Aidilfitri sudah terbang pergi.

Kalau kalian punyai tip berharga, apa kata kongsikan sedikit!

1 comment:

Wan Syahida said...

rilek ah peng. shye sebulan tak posa. kena ganti sebulan. tak ganti pe pun lagi nih. huhu.

p/s : moga panjang umur n dapat jumpa ramadhan lagi..