Thursday, September 8, 2011

Belajar di Aidilfitri 1

Sambutan hari raya tidak lengkap tanpa kunjungan dan ziarah. Itu adalah antara acara wajib. Kalau anak-anak inilah saat paling tidak digemari terutamanya ketika melawat saudara jauh. (hubungan) Tambahan pula saban tahun hanya kita yang sentiasa menziarahi mereka tanpa kunjungan balas. Walaupun usia sudah menjadi dewasa rasa itu masih bersemi di hati, setiap kali abah mengajak mengunjungi saudara jauh, aku sentiasa menarik hati masam, kadang-kadang terluah sampai ke bibir.

Namun lawatan tahun ini ada sedikit kelainan yang menggenggam hati. Menziarahi sepasang ibu bapa yang sedang sakit membuatkan aku berfikir panjang. Semasa lawatan kami ke rumah seorang anaknya, si ayah mengalami masalah kekejangan dan muntah-muntah. Sungguh kesian sehingga aku tidak sanggup menontonnya. Tidak pasti apa yang boleh aku tolong. Abah dan menantunya mengurut-ngurut tubuh. Dalam masa tidak sampai setengah jam, semua anak yang berada dalam satu daerah yang sama sudah berkumpul menguruskan ayah. Akhirnya, atuk dibawa ke hospital kerana pada hari raya pertama tiada klinik yang dibuka. Kegigihan anak-anak menjaga kedua-dua orang tua tersebut sungguh menyentuh hati.

Aku sendiri terfikir sejenak. Jika abah dan umi mengalami sesuatu yang sama, mampukah aku bertindak sedemikian? Benar sungguh kata orang ibu ayah boleh menjaga 10 anak, namun 10 anak belum pasti bertindak sedemikian. Aku mula mengerti kenapa abah selalu mahu kami melawat nenek dan datuk tersebut setiap kali aidilfitri. Mungkin itu satu pengajaran untuk kami adik beradik. Menjadi anak yang bertanggung jawab.

Ada lagi catatan aidilfitri yang ingin dikongsi, nanti aku nukilankan kemudian.

Salam Aidilfitri untuk semua. Semoga Ramadan yang berlalu meninggalkan kesan di hati. Juga mudah-mudahan segala amal baik kita diterimaNya dan tahun depan kita masih berpeluang menikmatinya.

3 comments:

Salamiah Endut said...

Eid Mubarok. Taqabbal ALlohu Minna wa Minkum =)

fairuspeng said...

Terima kasih cik Salamiah

ana said...

cepatla nukilkan kisah yg satu lagi...tal sabar nak dengar..