Horey!!! Bulan syawal hampir ke penghujung. Sudah letih menikmati makan. Hah, biar betul? Padahal aku suka benar menikmati keindahan makanan-makanan. Sepanjang sebulan Syawal ada beberapa menu yang memang kekal terpahat di hati. Berikut adalah beberapa menu yang cukup istimewa.
Laksa Johor Kasih : Banyak juga rumah yang membuatkan aku terpesona dengan laksa Johor. Sungguh menikmati spageti dengan kuah ikan, sambal, lobak asin, timun, kacang panjang dan beberapa daun yang telah digaul sebati memang mengasyikkan. Masakan ibu Hilman sungguh enak, rasa menusuk ke kalbu menikmatinya. Puas sungguh setelah lama tidak menikmati laksa Johor dan itulah yang pertama tahun ini. Ibu Oya juga membekalkan sebekas laksa johor. Aku habiskan buah tangan kasih sayang itu tanpa memandang sesiapa. Mak Eisha menyediakannya sebagai salah satu menu. Apa lagi, gaul sebati dengan tanganlah!
Nasi Dagang Sayang: Mi buatkan kami sekeluarga nasi dagang pada hari raya tempoh hari. Sungguh sayang itu menikam ke dalam hati dengan rasa kuah ikan tongkol dan kuah udang. Mak Eisha pula lengkapkan koleksi dengan menyediakan nasi dagang Terengganu. Uh, aku sampai terkenang kerana tidak membungkusnya pulang. Kuah ikan tongkol dengan belimbing buluh cukup untuk menusuk halus ke hati.
Nasi dagang segar dari teratak bonda
Makaroni Bakar Akrab: Semenjak raya tahun lepas lagi aku idamkan makarani bakar. Alhamdulillah, Kino sediakan tahun ini. Berbaloi tunggu sehingga setahun. Bukan saja menikmati penuh kesedapan, tetapi boleh dibawa pulang sekali. Malangnya yang dibawa pulang itu bukan aku seorang saja yang menikmati, rakan-rakan yang malu-malu kucing semasa di rumah Kino juga menghabiskan dengan penuh rasa akrab.
Banyak lagi makanan lain yang dihidangkan dan kesannya cukup kuat. Malah ada yang baru pertama kali mencuba sudah jelas kehandalannya seperti laksam murni. Ramai teman sepejabat yang terpegun dengan hasil laksam yang digulung penuh tertip. Tidak lupa pada kue tiaw anggun Kak Nana. Memang terbaik, indah dan damai merasainya. Ditambah dengan rending ayam.
Namun paling tidak boleh dilupa adalah kombinasi petai celur, budu, tempoyak, ikan bakar tawar dan gulai ikan sewaktu di kampong. Memang kami makan saling berebut mahu mencecah budu bersama tempoyak. Walau jauh ke mana merantau makanan biasa lagi mudah tetap menjadi pujaan. Budu tetap idaman aku anak jati Kelantan. Jadi tidak hairanlah kalau bahasa Melayu aku masih berbau budu. Sungguh walau yang dicari adalah yang terbaik hingga sesekali aku mengenepikan warisan yang mudah, tetapi tetap juga akhirnya pulang ke gagang. Kacang tidak akan lupakan kulit, mungkin yang ada hanyalah rasa angkuh dan malu kerana kulit selalunya hodoh lagi buruk bila ditinggalkam.
Bolehkah esok aku menikmati hidangan tersebut sebagai makanan tengah hari? Suara Mi dan Abah tiba-tiba terngiang-ngiang!

No comments:
Post a Comment