Wednesday, May 5, 2010

Rutin

Selalu saja kalau kita ke kedai kegemaran, kita akan minta air yang sama, makanan yang sama. Malah pelayan atau tuan kedai juga sudah boleh mengetahui tentang apa yang kita akan makan. Tidak perlu minta, cakap “macam biasa” kita akan dapat makanan yang dihajati.

Jumaat lepas seperti biasa, aku akan berhenti di sekitar Uniten untuk mendapatkan akhbar. Buka dompet, uh duit sungguh besar. Aku berikan kepada penjual tersebut tetapi dia menolak kembali. Katanya, “Nanti singgah beli lagi kan? Bayar nanti la.” Aku memang perasan pun semenjak sebulan lalu, setiap kali aku berhenti dia sudah tahu apa akhbar yang akan diberikan. Tambahan pula aku hanya membeli akhbar pada hari Jumaat, jadi tentu saja dia mengenali.

Baikkah begitu? Terus membina hubungan dengan penjual surat khabar itu?

Kalau tentang makanan, aku pernah dipesan supaya membeli makanan yang berbeza pada kedai yang sama. Alasannya cukup mudah. Risau nanti disihir atau sesuatu diletakkan dalam makanan, katanya hati manusia kita mana tahu, macam-macam boleh buat. Lagipun aku memang jenis yang tidak boleh makan makanan yang sama. Perlu pelbagai dalam menikmati hidangan. Sama juga dengan perjalanan ke pejabat, aku bukan boleh melalui jalan yang sama setiap hari. Pasti ada jalan alternatif yang dilalui.

Pernah seorang yang besar pengalamannya bercerita bahawa untuk meningkatkan kreativiti kita tidak boleh melakukan kerja yang sama. Dialah yang mencadangkan kepadaku supaya melalui jalan yang berbeza setiap hari walaupun ke tempat yang sama. Katanya minda lebih terbuka. Kadang-kadang aku terfikir ada baiknya juga mengikuti jalan berbeza, makan makanan berbeza, beli surat khabar yang berbeza dan tidak melakukan rutin yang sama. Lalu tiadalah orang yang boleh mengagak bagaiman rutin hidupku.

Terlintas juga kadang-kadang betapa rutin itu boleh mengundang binasa. Banyak cerita yang menunjukkan betapa rutin yang sama setiap hari menyebabkan seseorang sering di ancam musuh. Filem Law Abiding Citizen, contohnya memaparkan bagaimana waktu 10 tahun di ambil untuk merancangan pembunuhan balas dendam. Pembunuh mengambil masa begitu lama memerhatikan rutin mangsa-mangsanya sebelum bertindak. Uh!

Walaupun aku tidak rasa ada yang memusuhiku hingga sanggup membunuh, tetapi aku rasa perlu ada waspada dan hazar itu. Malah lebih penting menukar rutin supaya hidup tidak membosan dan aku menjadi lebih kreatif. Uh, sungguh aku mahu menjadi lebih kreatif, hasil kreativiti aku sungguh masih lemah. Novel itu sudah lama terbuku kerana tandus idea. Kalian bagaimana?

2 comments:

fahmi mat zin said...

saya thu surat kaba gapo abe beli skmo 2.... hahaha...

TulipKu said...

bagus la adik a.peng sore nih