Malam tadi, menikmati yang dibawa Afif dari kampung. Uh, kemanisannya mengingatkan kepada pokok-pokok rambutan di kampung. Rambutan bukanlah buah kegemaran tetapi kerana sudah lama tidak merasa dan kelaparan, tekak ini begitu enak menikmatinya.
Waktu kecil-kecil dahulu apabila tiba musim buah, setiap petang kami sekeluarga mengutip buah rambutan di kebun kerana sungguh kebun itu dipenuhi dengan pokok rambutan sahaja. Pelbagai jenis rambutan yang ada, tetapi aku paling suka rambutan gula batu yang kulitnya berwarna kuning. Kami adik-beradik berebut memanjat pokok tersebut dan menikmati sepuas-puasnya sebelum membantu Abah mengutip rambutan.
Pokok-pokok rambutan itu jugalah yang selalu kami jadikan prop untuk lakonan sebagai superhero. Menjadi Maskman yang berlawan dengan raksaksa atau kadang-kadang berebut untuk menjadi Pendekar Musang Si Guntang yang melompat dari satu dahan ke dahan yang lain. Kalau tiada yang jatuh menangis selagi itulah kami berperang. Paling tidak pun selepas Abah bersuara, semua berlari mengutip buah-buah yang jatuh.
Apabila buah teramat banyak sehingga tidak termakan, Umi akan memasaknya dengan air gula untuk dijadikan air rambutan. Kadang-kadang kami mencampurkan buah tersebut dengan air sirap. Mencipta menu sendiri. Paling aku tidak suka dahulu adalah ‘rambutan telan’, iaitu yang hanya dihisap isi dan dibuang biji yang masih terlekat isinya. Rambutan tidak lekang itu adalah pilihan terakhir. Namun apabila buah yang lain tak ada kami adik-adik berebut juga memanjat pokoknya. Mendapatkan buah yang ranum merah.
Kebun milik arwah atuk itu masih ada lagi, cumanya sudah ditambah dengan pokok-pokok salak selepas beberapa pokok yang tua ditebang dan digantikan dengan pokok buah-buahan lain. Setiap kali pulang ke kampung, aku hanya meminta abah mendapatkan untuk kami, sama ada buah salak atau buah rambutan. Sungguh kejamkan aku? Tiada lagi merasai nikmat memetik buah bersama-sama. Mengutip buah dan mengisikannya ke dalam guni gula. Satu aktiviti yang hanya tinggal kenangan.
Rambutan, buah yang cukup untuk mengingatkan tentang seronoknya melalui zaman kanak-kanak. Berlari di dalam kebun, bergaduh memilih buah yang manis dan berperang dengan semut mahupun nyamuk. Paling tidak dilupa adalah pengalaman jatuh dalam dari atas pokok sebagai pendekar yang kecundang. Kebuh itu jugalah yang masih mengikat kasih sayang aku dengan datuk dan nenek yang kembali ke rahmatullah sewaktu aku berusia 5 tahun.
Terasa ingin benar menikmati rambutan kuning. Siapa boleh titipkan sedikit?

4 comments:
ouh. tiada kebun rambutan segala. tiada dapat dibantu. huwuwuw
seronok dpt merasai kehidupan dan aktiviti mcm tu..
sgt sgt jeles!
cr pasar la abe peng..hu..hu..
Kino: kebun durian kan ada.... pun boleh?
Oya: kehidupan di bandar lagi mencabar rasanya...
Tulip: yang kuning tak pernah jumpa pun kat p.mlm
Post a Comment