Nazim Gagah sibuk bercerita pasal raya kepada kita. Maklumlah katanya semua orang juga sibuk bercerita. Cerita raya ini tak ada menarik sangat. Semua orang asyik memainkan cerita hebat mereka semasa raya, maka Nazim Gagah tidak juga mahu ketinggalan. Mari kita dengar sendiri cerita dari Nazim Gagah
“Alkisahnya Nilam Garuda mahu khabarkan secebis cerita. Tiadalah enak seperi kek hitam hutan atau ayam kahwin ros. Biasalah awal syawal yang mulia, menjadi kemestian semua kaum kerabat berkumpul untuk mendampingi dengan nenek yang tiada suami. Pekan ini, sebab Nilam Garuda dapat anugerah nama baru yang boleh berkelip dari sultan, maka ramai kepingin datang beraya di rumah. Malah ramai juga menjemput datang beraya ke rumah. Nazim cakap saja hari raya pertama dan kedua tak boleh, sibuk dengan urusan kaum kerabat. Ah, menggunakan nama Nazim Gagah lagi indah rasanya. Tambah-tambahan semua kaum kerabat melompat beria meminta di anjurkan satu majlis meriah lagi besar-besaran kerana Nazim baru mendapat nama baru Emerald Nilam yang berkelip-kelip.
Maka pada hari raya kedua itu, seperti yang dipersetujui, terpaksalah Nazim bersiap-siap dengan bonda supaya semua kaum kerabat boleh makan enak. Bonda menyiapkanlah bekalan buah-buah . Tak mahu bonda menyiapkan makan dengan banyak minyak kerana katanya tinggi kolesterol itu nanti bawa gemuk dan bawa serangan angin ahmar. Pergilah ayahanda ke kebun mencari salak dan rambutan. Mujurlah salak masih ada sepikul dua. Cuma rambutan yang sudah kering di tanah, mana tidaknya sepanjang sebulan sibuk menyuruskan hal rumah tangga tiadalah sempat berkebun. Kerana tiadanya banyak buah, maka dengan penuh kesungguhan bonda mengarahkan anak-anak mencari daun getah untuk dibuat tapai. Mujurlah masih ada ikan tongkol, lalu dibuat saja kari untuk dimakan dengan nasi puteh melepak bersama budu yang digaul dengan lada dan limau nipis. Ada juga kacang panjang yang digoreng bodoh-bodoh dan timun segar dari ladang dihiris bulat-bulat.
Datanglah sekalian kaum kerabat menjamu selera tengah hari itu. Sungguh mereka menikmati kari ikan tongkol hingga habis sebelanga dak. Mujurlah bonda tidak mengulai sama kepala ikan tongkol yang memang Nazim gemari. Kalau tidak mesti habis juga kepala itu. Bahkan Nazim simpan kepala ikan tongkol sepesar piring yang siap direbus itu di dalam belanga lain supaya tidak dinampak marah. Malamnya barulah Nazim melantak seorang diri dengan nasi putih melepak dan sisa budu yang ada.
Barangkali inilah budu raya bonda Nazim
Pada hari itu, tidaklah aktiviti sekadar melantak sahaja. Bersembang kami bagai mahu runtuh teratak Nazim. Macam-macam cerita yang ada. Sedikit cerita itu gelak, tambah cerita di sini ketawa sehinggalah solat Asar. Selepas saja solat Asar kami terus turun ke laman menuju ke ladang adinda, Nizam Geliga Obor Sriya. Permainan petang itu adalah menangkap katak untuk dijadikan umpan mengail. Berkubang kaum kerabat dalam ladang yang baru siap batasnya mencari katak. Ikan-ikan sungai terutamanya ikan haruan suka benar dengan katak ini. Jadi disebabkan Nazim yang teringin seperti mengidam makan ikan haruan, adinda Nizam mencadangkan diadakan pertandingan mencari katak supaya tidak susah dia berkubang seorang-seorang menangkap. Namun sudah hari tidak elok, hanya seekor katak yang berjaya ditangkap, yang selebihnya banyak terlepas saja. Maklum saja orang bandar orang kampung yang tidak pernah berkubang ini bila dapat berkubang lebih dari kerbau jadinya.
Tidak cukup dengan majlis besar yang bawa ke Isyak, hari kempat raya diadakan lagi majlis pada malamnya kerana bonda saudara yang baru pulang cemburu mendengar khabar indah permai yang disampaikan. Bertungkus-lumus pula bonda menyiapkan kuah laksa. Mulanya Nazim mahu laksa belut tetapi semua membantah, maka sekadar kuah laksa ikan sardin selayang yang biasa-biasa itu. Tapi yang biasa ini lah Cik Kiambang rombongan makan menambah-nambah tempoh hari. Sedap ke tidak Nazim tidak tahu, perlulah ditanya Tuan Syed, Sultan Kamil Antah atau Syarifah Humaira atau Madinah Adik Haha. Sedang bonda menyediakan resepi rahsia di dapur, berangkatlah kaum kerabat ke pantai seri tujuh penuh geting untuk merasai gigi-gigi ombak. Sempatlah menghirup air kelapa dengan sotong yang dimasak segar dengan tepung dan tentu tidak boleh dipisahkan keropok gotel yang kononnya tidak seenak lekor marang 007 008 009. Penat malam tidak terasa bila menikmati laksa dan laksam bonda. Hirisan timun, kacang panjang dan serai kayu yang ditabur memang menambah sedap. Siap lagi dengan sambal cili hidup cili kering. Bahkan ada sesetengah kaum kerabat yang menambah belacan supaya selera terbangkit. Kemudian, penat pula kami melayan teletah anak-anak kecil yang berebut permainan video serta juga yang menonton Si botak Ipin dan Upin sambil berlakon menjadi Opah bagai.
Setelah penat hampir terlelap itulah ada teman jauh di bandar menghantar utusan sepatah dering bertanya raya dan walimatulurus yang bakal dihadiri. Kerana yang menghantar keturunan baik-baik tiada Nazim sanggup membisu. Balas malas juga malam itu hingga diajak Nazim berkunjung ke rumah handai yang tidak terbuka tingkapnya. Setuju saja Nazim dengan saranan kerana katanya mahu ke Kelang yang pernah dilanggar Siam, kecuali pada saranan mahu ke mahligai dekat masjid jamek sultan berdaulat. Nazim bukan merajuk, jauhi sekali berpedih ulu hati, tetapi Nazi ini cuba berpegang pada janji. Sudah diajar oleh mahaguru katanya lembu itu dipegang pada tali dan manusia dipegang pada janji. Maka kerana sudah berjanji maka Nazim patuhi janji Nazim itu sendiri. Memanglah kalau dilanggar janji tidak pernu dibayar kifarah tetapi maruah soalnya lebih lagi perlu ditatang.
Setakat ini Nazim belum lagi bertandang kemana-mana rumah yang dibuka baik tingkap, pintu hatta tangganya. Ada jua jemputan cuma Nazim belum bekesempatan. Teringat Cik Kiambang yang jauh, beraya hampir ke hujung dunia, tidak sampai hati Nazim mahu berseronok lebih-lebih. Takut juga nanti khabar indah Nazim menyebabkan Cik Kiambang merah mata mencurah air. Terkenang Cik Sook Sutra Yanti Iras-Iras, lagi tidak mahu Nazim lebih gembira. Nazim harap Cik Sook Sutra bersabar menunggu purnama mendatang dengan penuh hati-hati kerana kata orang tua saat menanti itu manis darahnya. Belum lagi dikenang marhaen di Padang, Luzon, Manila, Samoa dan Hanoi yang tergolek jatuh dilanda rahmat ujianNya. Tapi kalau dikenang yang di Bagan Pinang tentu jelik mahu muntah-muntah kerana yang biru besar kelam masuk rumah putih setelah nyaris pitam lepas hampir separuh hari dipukul sebat.
Nazim ingat baik juga kalau dibuka pintu kecil teratak Nazim. Ajak beberapa handai bertandang supaya boleh berkongsi sedih gembira. Tetapi apakah daya, pintu Nazim kecil tidak besar, tidak dapat menampung angan-angan. Kalaulah Nazim berumah yang tangganya sebesar pintu dan dapurnya dihias cantik puteri hati boleh juga berkongsi sedikit gembira lepas habis puasa enam. Sekarang ini, sekadar terbang di celah angan-angan di atas laut mimpi saja hendaknya.”
Kita juga tidak dapat membuka rumah untuk kawan-kawan. Datang tentu kita meraikan tetapi tiada makanan yang istimewa seperti nasi dagangan dengan gulai udang apatah lagi ketupat palas mahupun macaroni bakar. Ah, sengaja disebut macaroni supaya kita teringat enaknya macaroni bakar Cik Kiambang. Khabarnya Cik Kiambang sudah tukar nama kerana biru mata hitamnya.

7 comments:
kahabarkan saja pada Nazim Gagah, Cik Kiambang itu tiada lagi biru mata hitamnya. masih hitam. masih lagi tersisip dengan adab sopannya. ya. muntah badang saja jika mahu mendengarnya.
oh ya. sikap menggambar diri sendiri masih belum boleh dikikis walaupun di tanah svenska ini, sikap itu amat asing. haha. ah si cik kiambang itu. suka mencuri gambar saja lagaknya.
angan warna kulit kurang dimamah mentari pun hanya tinggal angan. jangan disangka mahu ketemu cik kiambang versi mulus bersih lima purnama mendatang.
apa mahu dibanding lebaran di tanah melayu dengan tanah svenska ini. jauh langit dengan bumi. tiada yang enak di sini. serba serbi penuh jelek di mata cik kiambang. sudah rindu dendam sama tanah air barangkali.
cik kiambang bilang mahu mengundur diri.
ke pengajian yang belum tentu ada. ini lah padahnya. padan muka sama mamak kutti yang menggesanya datang ke pengajian walau cik kiambang sudah bertegas tiada pengajian pagi ini. haih.sudahnya cik kiambang duduk2 saja mengirim angin berita dan duduk menelaah nukilan nazim gagah di papan layar. huhuu.
moga ketemu lagi di lain pekan.
salam ingatan dari tanah svenska.
Ada watak baru ya dlm cerita Tuan Nazim Gagah.. :p
padan muka sama mamak kutti ---kinu..tak baik.haha..
ana.. apa yg x baiknye.. hehehehe
Cik kino: wah panjang betul utusan cik kiambang ini...
rasanya kita dan nazim gagah pun suka juga bab-bab mengambar ni..
ya la.. kita kan raja lompat katak bagai...
banyakkan bersabar dengan mamak kutti di negara svenska
syira: nazim bau berjumpa teman baru tu rasanya.. maklumlah orang bergelar tun.. mesti banyak kenalan
ana: entah la.. tiba-tiba pulak mengutuk mamak kutti di sini.. tak baiklah.. kan kino kan?
Salam. Bestla baca entri ni.Teramat sukalah hamba mengulitnya kerana sekian lama tidak bertemu larik bahasa persis Cik Nizam Gagah. Keep it up!
haih.
saya bukan racist.
harap maklum.
Post a Comment