Sunday, October 18, 2009

Cerita Putra Eskandar Nazim Gagah: Celaka!!!

Pagi Jumaat sayidul ayyam yang mulus kudus kita unggulkan dengan kudapan sedap enak jauh nun di anjung penuh permai. Sudah kita melazimi mengisi hias pagi syahdu begini dengan sepinggan cekodok bawang kucai yang dicicah mesra dengan kuah pedas. Sedang enak kita bersembang bukan mengumpat tentang fesyen sempena perayaan pelita gelap penuh cahaya ada khabar terjah sekejap. Belum sempat kita mengatur tangan mengizinkan suara berbicara, getar nada terjah dering sudah hilang di balik tebal gumpal kain. Pantas kita mencari kembali butir-butir menghalakan getar nada.

Aduh, seperti mahu jatuh terduduk kita mendengar khabar Nazim ditimpa celaka. Adinda kesayangan mengkhabarkan betapa Nazim sudah jatuh celaka laksana sudah jatuh ditimpa tangga rumah. Katanya Nazim Gagah sudah dibawa ke rumah putih merah berbulan. Mulanya kita menyangka Nazim dibawa ke rumah merah putih berkeris tempat orang bersidang kecoh heboh, tetapi adinda Nazim, Nizam Geliga namanya menyanggah cepat-cepat, katanya kalau tersalah rumah boleh pitam loya dia barangkali.

Celaka yang menimpa Nazim belum dapat dipastikan punca azab kerana waktu Nazim celaka dia menaiki gentala sendirian setelah pulang kudapan jua. Barangkali Nazim terlanggar rumah atau terlanggar tangga tidak dipastikan. Mungkin juga tangga yang melanggar hingga celaka bawa Nazim tidak sedar diri di sisi rumah. Semenjak beberapa

kali matahari tenggelam ini kita memang perasan pelik gedik Nazim dalam menjaga tepi kain hingga gemuk beratnya tidak terurus. Bahkan Nazim kadang-kadang laksana syaitan terlepas bebas Ramadhan dalam beberapa hal. Makan benar tidak terjaga hingga semua lemang ketupat rendang terhidang habis disumbat lantak dia. Lebih teruk lagi tatkala sampai syeikhnya hingga lupa bagai menghisap ganja ice. Itulah sebabnya pernah beberapa malam lalu tersungkur Nazim di laman lantaran terlanggar tangga rumah yang utuh siap teguh.

Kita belum sempat menziarah Nazim lagi. Khabarnya segala kaum-kerabat tidak juga dibenar datang ziarah. Habis disekat segala pintu log in. Barangkali celaka benar Nazim Gagah. Cuma ada pesan daripada adinda Nizam Geliga yang minta kita sampaikan pada semua teman taulan. Minta dimaaf halal segala dosa makan minum pakai baik bicara kata yang pernah Nazim adabkan. Doa juga sama-sama kita panjatkan agar cepat sembuh Nazim dari celaka dan boleh kembali menyampai cerita. Cuma kalau ada yang masih menyimpan sakit pedih perit rasa boleh datang bersua Nazim di rumah putih merah berbulan. Terus saja bersua kita jika mahu lanjut segala hal info kerana adinda Nizam Geliga sungguh benar mahu merahsiakan ruang Nazim dirawat. Katanya celaka Nazim Gagah itu kifarah dan biarlah buruk hodoh luka celaka tidak ditonton siar orang ramai. Kelak bertambah malu celaka Nazim Gagah.

Oh, rasanya sinar emerald nilam baru mahu bersinar tetapi celaka ini memalapkan kembali prestasi Nazim. Mudah-mudahan selamat Putra Eskandar Nazim Gagah hendaknya.

3 comments:

Kinokids said...

updating in ward?

Eisha said...

ape jadi dengan nazim??hu sy byk terlepas cite la...harap2 nazim cpat sembuh

Insyirah said...

Tuan Nazim ok? Moga cepat sembuh.