Thursday, October 8, 2009

Zalimkah aku?

Kenapa dunia ini selalu tidak adil kepada kita? Kenapa mereka bertindak zalim kepada kita?

Kasih-sayang perlu dibahagi seadil-adilnya. Tiada pilih kasih. Jadi seorang ayah perlu memberi kasih sayang kepada anak-anaknya dengan sama rata. Kalau dia belikan anak pertama jam tangan Swatch, jadi semua yang lain harus dibelikan juga. Tapi kalau dia belikan anak gadisnya gelang emas, patutkah dia membelikan juga anak terunanya gelang emas? Kalau anak sulungnya berjaya dalam peperiksaan dengan cemerlang dan sentiasa patuh kepada kehendak dia, lagi sentiasa bersama melakukan aktiviti di masa senggang dan menyiapkan kerja rumah, perlukan ayah tersebut memberi hadiah yang sama kepada anak keduanya yang malas belajar, gagal dalam pelajaran serta selalu memberi alasan apabila minta tolong? Kalau sebut pasal poligami, tentu lagi hebat nilai adil dan zalim.

Persepsi lain pula, contohnya berkenaan merisik, bertunang dan kahwin. Perlukah aku hebahkan kepada semua apabila aku merisik seseorang gadis? Tentu saja zalim hebahan tersebut kepadaku bila risikan ditolak dan kepada si gadis jika perhubungan tidak sampai ke hajatnya. Begitu juga bertunang, haruskah diberitahu kepada teman-teman atau sekadar kepada kawan-kawan rapat sahaja? Pada mereka yang pernah menolak lamaran aku, perlukah diberitahu? Zalimkah aku jika tidak menjemput semua teman ke majlis walimah urus yang diadakan secara tertutup untuk keluarga sahaja? Maklum saja zaman-zaman gawat ini, majlis kahwin pun seadanya. Maka tindakan paling adil untuk tidak menyakiti teman-teman adalah sekadar mengumumkan majlis perkahwinan di Facebook,Frienster atau blog selepas majlis berlangsung. Ah, ramai saja taulan yang sedar-sedar sudah berinai dijari bahkan lebih lagi bila sudah bercahaya mata.

Keadilan kerajaan Malaysia terserlah dengan memberi bantuan kepada mangsa gempa bumi di Padang. Tapi ada juga rakyat Indonesia yang menzalimi tentera dan rakyat Malaysia dengan pelbagai ancaman. Tentu Malaysia menzalimi mangsa gempa tersebut jika menarik balik bantuan kerana aku tidak semua mangsa menzalimi Malaysia dengan melontar batu. Kenapa Malaysia tidak memilih untuk menzalimi?

Tentu saja tidak adil jika kita ditumbuk tanpa sebab atau sekadar kerana marahkan kelab kita. Tapi lebih zalim jika kita menuduh ditumbuk sehingga membuatkan cedera walaupun sebenarnya sekadar ditepuk. Adilkah jika kita ditumbuk dan ditetak dengan parang sehingga berdarah hanya kerana kesalahan menjatuhkan bendera? Bukankah kita punya mahkamah dan polis yang adil untuk sebarang tindakan?

Dunia jarang sekali adil kerana sentiasa diketuai oleh pemimpin yang zalim. Maka kita yang kerdil ini selalu tertindas. Mujurlah Allah itu Maha Adil dalam segala hal, cuma kita yang menzalimi diri kita dengan merosakkan diri sendiri. Bilakah aku boleh bersikap adil kepada diri sendiri?


Adakah aku menzalimi diri sendiri dengan aksi ini?

No comments: