Friday, July 31, 2009

Cerita Putra Eskandar Nazim Gagah: Carik-Carik Bulu Ayam


“Tak boleh dapat malam ni. Kena hantar bengkel. Mungkin perlu bedah.” Suara di hujung talian.

“Habis berapa lagi habis? Berapa banyak duit lagi? Tak boleh ditunggang lebih laju la? Macam mana nak pergi menoreh?” Putra Eskandar N.Z menghantar pertanyaan. Belum sempat dia bersuara talian dimatikan.

“Ah!” Nazim Gagah tersentak. Salahkan tingkahnya. Cuba mengejar talian tetapi gagal.

Tut, tut. Ada bunyi mengejar. Cepat-cepat Nazim Gagah melihat tulisan tertera, ‘Lain kali betulkan sendiri.’

Termenung panjang Nazim Gagah. Bagaimana nanti mahu pergi menoreh kalau tunggangannya tiada. Itulah tunggangan yang banyak berjasa. Walaupun sudah lama tetapi masih berjasa. Memang beberapa waktu ini tunggangannya nampak uzur. Mengaum sudah lain. Itulah dia minta adiknya Putra Omar Jurus Etok tengok dan betulkan. Tidak tahu bagaimana menghadapi keadaan begini. Kalau tunggangannya itu tidak dirawat dengan elok, pasti dia akan kesusahan.

Semuanya berlaku dua minggu lalu. Nazim Gagah sedapkan hati dan hantar bunyi tut tut juga. ‘Buatlah apa-apa pun, aku masih ada tunggangan lain. Kebetulan Razlan Irwan Rehal Itam yang mengembara demi menyampung belajar di pulau banyak mutiara meninggalkan tungganganya. Dapat juga Nazim Gagah menggunakan.

Namun lebih merisaukan adalah nada amarah P. Omar Jurus E. Tidak pernah terjadi perkara begini. Saudara kandungnya itu sudah lama tidak berkasar. Bahkan semenjak sama-sama senang susah di bandar tempat orang jauh-jauh menuntut keadilan ini, mereka baik-baik saja. Selalu keluar makan bersama-sama lebih-lebih lagi bila hasil menoreh diperolehi. Paling ditakuti Nazim Gagah adalah putusnya hubungan darah sebab kasar bahasa.

Petang hari tidak menoreh lepas, Nazim Gagah mengambil tunggangannya yang sudah dirawat. Oh, segalanya aman. Bahkan mereka pusing-pusing mencari pondok makan yang menjual ayam golek tidak digolek, sebelum makan bersama-sama di kedai nasi ayam nan tiada hanya jual ayam itu. Sambil makan mereka berbual-bual dengan gelojoh. Laksana tiada apa-apa. Betullah kata orang tua-tua carik-carik bulu ayam, lama-lam bercantum jua. Husnul khatimah. Tetapi akhirul kisah bukan begitu, tunggannya muntah darah hitam. Perlu dirawat lagi.

Carik-carik bulu ayam itu di kalangan kerabat putra yang empat bersaudara. Kalau dengan teman seperjuangan mungkin ada carik-carik bulu ayam juga. Cuma yang carik sedikit itu sekadar sedikit. Kalau yang terlebih carik mungkin koyak rabak juga jadinya. Selalu di kata orang, hubungan darah itu pasti kekal juga hanya hubungan cinta berakarkan cintaNya yang boleh melawan.

Peliknya, malam tadi ratu hati Nazim Gagah meninggalkan bunyi. Segera Nazim Gagah mendapatkan talian. Rupanya cerita talian antara Nazim Gagah dengan Omar Jurus sudah sampai ke telinga orang lain. Jadi ratu hati menelefon sekadar bertanya khabar. Terus Nazim Gagah ceritakan segalanya dan minta ratu hati yang jauh tinggalnya tidak rungsing. Segalanya lantaran seorang lagi kerabat Putra yang sedang belajar di Ummu Maktabah bertali-talian dengan seorang lagi Putra di kampong. Lalu cerita gaduh dua Putra di bandar yang esok bakal berkumpul ramai orang melawan undang-undang zalim, turut rancak di talian. Nazim Gagah tidak sangka putra yang seorang ini juga kaki mengadu seprtinya.

Nazim Gagah duduk tersenyum seorang diri selepas talian dimatikan. Dua tiga hari lalu dengan Kamil Antah Yazdan dia bertingkah mulut. Belum habis katanya, Kamil Antah sudah memotong dengan ayat kasar bunyinya. Kemudian Nazim Gagah yang sedia tajam mulutnya menambah lagi kata. Akhir sekali sama-sama diam.

Kita rasa Nazim Gagah sedang mengalami gejala sebelum merah yang sedikit sama dengan penyakit pra merah sindrom. Tapi entah merah apa agaknya. Peliknya Nazim Gagah bersembang elok dengan Kamil Antah esoknya. Laksana tiada sinis-sinis sebelumnya. Kita rasa hati Nazim Gagah belum lagi pulih. Dia jenis yang menyimpan lama-lama. Malangnya, yang disimpan itu selalu saja dilupai bila ada hal-hal tertentu. Bila GSM hilang, dia baik baik. Bila GSM datang dia buat hal balik. Biasalah Nazim Gagah, gagah dengan sinis dan pendamnya.

Khabarnya Nazim Gagah sedang mencari teman untuk berbaju hitam merah esok. Kalau tiada orang tidak mahu dia pergi. Biasanya R. Irwan R. Itam teman bersiar-siar, tetapi dia dikuarantinkan kerana serangan Hantu satu Nose satu. Emir Y. Mayang Arjuna N. pula mencari ilmu di negeri anak cina, Syed H.U. Qusairi balik ke kampung tunangnya dan Kamil A. Y sudah mengangkat naik sauh di Laut China Selatan. Barangkali tidak jadi Nazim Gagah berhitam merah esok. Ke mana sudah halatuju perjuangan Nazim Gagah ini? Kita bukan seperti Nazim Gagah dan kawan-kawannya, kita hanya orang biasa yang tidak mahu berlibat dengan kotornya gajah-gajah. Takut nanti kita yang kecil ini dihimpit. Maklumlah kita hanya pelanduk.

No comments: