Monday, December 1, 2008

Kasih Abang dan Ayah Semasa Berkhatan

Minggu lepas ada majlis berkhatan di tempat tinggalku. Selesai beriadah di Tasik Titiwangsa, aku menjenguk sekejap melihat kanak-kanak yang dikhatankan. Separuhnya sudah selesai. Melihat seorang ayah yang setia menunggu anaknya yang dikhatankan di luar dewan sehingga melahirkan senyuman segera aku menyapa, “ Apa yang disenyumkan?”

“Teringat masa kecil-kecil dulu, waktu bersunat ramai-ramai.”

Abang tersebut terus bercerita kepada aku tanpa diminta. Katanya dia dikhatankan bersama dua orang adiknya. Waktu itu dia berusia 12 tahun dan adiknya 11 dan 9 tahun. Serentak itu juga bersama sepupunya 11 tahun, sepupu tersebut memang tinggal bersama keluarganya kerana ayah dan ibu mereka meninggal dalam kemalangan. Sedih benar bunyinya.

Katanya adiknya yang 9 tahun itu yang menemani anaknya di dalam. Dia takut mahu bersama jadi dia biar Alang menemani. Alang katanya masa kecil dahulu sehingga ke sekolah menengah nakal sekali. Habis SPM bekerja kilang dan sehingga kini tinggal bersamanya. Itulah adik yang setia, dahulu dialah yang selalu dimarah dan dihina. Maklumlah kurang bijak. Degil. Tidak sangka dia sekarang yang banyak membantu keluarga dan tempat menumpang kasih berbanding adik lain.

Cepat aku tanya, “Kenapa?”

Adiknya yang kedua, Angah memang bijak dan pandai. Lepas SPM masuk matrikulasi kemudian masuk universiti dan berjaya seperti mana yang didiknya. Kini menjadi seorang setiausaha orang besar. Masa di univiersiti dulu mereka sama-sama susah senang. Angah memang cemerlang dalam pelajaran dan aktiviti berpersatuan. Berjaya seperti mana didikan diberi. Memang dia mahu Angah jadi seperti sekarang dan itu yang selalu diulang ke telinga Angah. Tetapi semenjak jadi orang besar jarang sekali Angah menjenguk. Sibuk benar.

“Dia lakukan kerja untuk negara.” Sahut aku.

Memang abang tersebut mengakui yang Angah melakukan sesuatu yang tepat. Tapi dia ingin juga rasa kasih sayang seorang adik. Ibubapa juga sudah tiada. Tapi dia tidak pernah salahkan Angah kerana yakin Angah pasti melukan sesuatu yang diredahi Allah. Cuma sedikit kecewa tidak dapat merasai teduh kasih adiknya.

“Mungkin juga dia sibuk dengan isteri dan anak barunya.” Abang itu mengakhiri cerita tentang Angah sebelum menyambung cerita tentang Acik, sepupunya.

Acik katanya sudah lama merajuk. Dia memang lebihkan Acik dari yang lain kerana simpati dengan Acik yang sebatang kara. Tapi katanya entah dimana silap. Daripada pertengkaran kecil Acik merajuk. Membawa diri sehingga kini masih belum berjumpa. Waktu itu Acik baru sahaja menamatkan pengajian di universiti. Sampai sekarang kasihnya kepada Acik memang lebih. Tengok gambar Acik mesti menangis. Sayang seorang abang barangkali, katanya/

“Acik dengan anak abang sendiri mana lagi sayang?” tanyaku cepat.

Belum sempat dia menjawab Alang memanggil meminta dia masuk ke dalam. Segera dia berlari dan aku belum mendapat jawapan. Kalau berjumpa di surau malam ini mahu aku dapatkan jawapannya.

Di atas adalah gambar sepanjang majlis tersebut. Dimana gambar abang tersebut?

No comments: