Sudah ada satu kalendar di atas meja. Lalu ada dua perkara yang bermain diminda. Pertama tentunya tentang azam tahun baru. Ah, aku tidak mahu bercerita tentangnya. Selalu saja aku gagal menepati sasaran!
Kedua, lebih menarik. Tunggu apa lagi, pilih tarikh yang sesuai untuk memohon cuti supaya cuti sehari menjadi empat atau mungkin juga menjadi lima. Apa yang biasa terlintas di minda apabila meneliti kalendar baru adalah waktu-waktu untuk pulang menikmati nasi kerabu dan laksam air tangan umi. Makan sahaja kerjanya. Juga aku mahu melengkapkan pengembaraan ke seluruh pulau di Malaysia. Tahun ini sekali lagi mahu ke Terengganu, lalu aku harus pantas memilih tarikh yang sesuai. Ada juga adik besar yang mengajak aku menemaninya di Kuching beberapa hari.
Semuanya tidak pernah berubah, yang aku tahu hanya menikmati cuti dengan rehat sepuas-puasnya. Hinggalah hujung minggu lalu ada yang mencetuskan kepadaku untuk mengisi kalendar dengan matlamat ibadah. Aku diam sejenak. Termenung. Katanya ada betul, mengapa aku tidak pernah terfikir untuk meneliti tarikh puasa-puasa sunat. Kenapa juga aku tidak isi dengan percutian ibadah. Lantas terfikir juga tempat dan aktiviti apakah yang sesuai untuk percutian ibadah. Apa salahnya jika aku bercuti dengan tujuan mendekatkan diri pada Tuhan.
Apakah maksudnya setiap hari aku melangkah tanpa ibadah? Aku senyum sendiri. Memang aku cuba menjadi setiap hari lebih baik dari hari sebelumnya. Tetapi bercuti ibadah mungkin patut dijadikan satu aktiviti yang lebih indah. Indah lagi kalau berteman.
Lalu apakah maksud cuti ibadah itu? Adakah bermukim di masjid seperti teman-teman tabligh? Ataupun berkampung mengurus mahupun menyertai kem ibadah? Mungkin tidur dengan buku-buku agama dengan halwa kuliah agama dan lagui nasyid? Atau melancong ke satu tempat yang boleh menambah iman seperti berkampung di pondok?
Aku masih buntu. Kalau ada yang punya idea, apa salah kita kongsi bersama?
Namun aku sentiasa mengingati bahawa kalau sebut cuti haruslah seronok. Menikmati ibadah yang seronok, bagaimana?
Ops, gelakkan aku ya? Ingat, tidak elok gelakkan azam tahun baru teman lain.

No comments:
Post a Comment