Tuesday, March 16, 2010

Senyum Pengantin, Bakal Pengantin dan Pengantin Lama

Senyum bakal pengantin tentu tidak sama dengan senyum pengantin baru. Bahkan hilai tawa orang sudah berkahwin lagi hebat, tambah-tambah tatkala berjenaka dengan pengantin baru. Terhimpit di tengah-tengah membuatkan aku sesekali tergelak besar. Mujur pengantin baru begitu mesra dan tidak kekok. Gurau dan senda begini memang terasa nikmatnya. Maklum sahaja jarang sekali bertemu dan berkumpul begini. Adik-adik sekadar memerhati abang-abang berjenaka, maklum saja belum cukup umur bilang abang-abang. Tetapi senyum yang memikat tentu senyum bakal pengantin. Senyum penuh berhati-hati dan mengambil ikhtibar. Kelak di majlisnya pasti akan dikenakan juga, lalu perlu perhatikan segala tingkah dan bersedia dengan perisai.

Alhamdulillah, hujung minggu lepas aku sempat memeriahkan majlis perkahwinan Jazli, sahabat akrab sejak di bangku sekolah lagi. Bermula dengan majlis akad nikah seawal pagi Jumaat dan majlis bertandang di rumah pengantin lelaki pada hari Ahad. Jazli nampak tidak kekok sekali dan senang melayan karenahku. Bahkan dia bertanya kepada ku, “Tidak mahu melompat ke?” Kalau rombongan pengantin perempuan sudah berangkat pasti saja aku melompat. Tentu akan menjadi memori paling hebat untukku. Aku selesa sepanjang majlisnya dan juga dengan isterinya walaupun kami pertama bertentang mata. Mudah-mudahan perkahwinannya akan menambah lagi simpulan kasih persahabatan yang terbina antara kami dan sahabat – sahabat lain. Jazli, seorang sahabat yang tidak dapat diganti. Bersahaja dan cukup memahami kegedikanku. Akhirnya aku tinggalkan Ikhwani, isteri dunia syurga Jazli dengan pesanan, “ Jaga Jazli baik-baik.” Walaupun aku tidak pernah menjaga Jazli tetapi aku tetap ingin melihat Jazli tetap menjadi sahabat, pejuang dan suami yang terjaga lagi sentiasa menjaga. Jazli, semoga perkahwinanmu menyuburkan lagi kasihmu padaNya dan kami.

Semoga Jazli kekal bahagia begini

Hujan lebat tidak juga menghalang aku dan Kay ke majlis perkahwinan rakan semaktabnya, Adham di Banggol Chicha, Pasir Mas. Kay paling hebat perjalanannya hujung minggu lalu, Jumaat di KL, Sabtu di Kelantan dan kembali semula ke KL pagi Ahad, jadual padat. Kuat sungguh semangatnya meredah perjalanan demi memenuhi undangan perkahwinan. Aku tidaklah sehebat kuatnya. Dia memang seorang sahabat baik setia. Senang dibawa berbincang. Itu pun masih lagi mengeluh kerana ada majlis yang tidak dapat dipenuhi.

Majlis hujung minggu lalu banyak yang tidak sempat dipenuhi. Maaf aku cukup lemah mengatur hidup. Tahniah untuk Abang Alias dan Nadia serta Mutiah dan pasangan yang melangsungkan perkahwinan di Negeri Sembilan. Juga untuk bekas teman serumah, Jabar @ Firdaus yang selesai meninggalkan zaman bujang di Penang. Minggu ini pula ada lagi jemputan. Uh, juga tidak dapat memenuhi. Majlis Pekahwinan Dr Nurhidayah dan juga majlis bertandang Abang Alias. Aku ada urusan di Kuala Terengganu.

Selamat pengantin baru untuk semua. Tahun ini aku rasa sedikit tercabar. Kad undangan daripada teman seangkatan mula menjengah. Oh, aku masih boleh bernafas dengan tenang!!!

1 comment:

Nusaybah Jr. said...

yo ko buleh bernafas dengan tenang tu a.peng??
mace tok cayo jah....