Kalau dapat menjadi burung, terbang sebebas-bebasnya adalah saat yang paling indah. Melawat setiap penjuru dunia tanpa ada yang membantah. Bersiul tanpa ada yang melarang. Sungguh indah. Adil lagi bersih. Terasa mahu jadi seperti burung, bebas terbang dan pulang petang bersih tanpa gangguan.
Bebas memilih. Aku beruntung. Abah memberi sepenuh kebebasan untuk aku membuat pilihan. Malah ketika semua orang sibuk mendesak agar aku berkahwin, Abah masih memberi kebebasan, tiada sepatah kata. Umi juga begitu, tiada pernah menyekat kemahuan jika aku punyai alasan yang kukuh. Sedikit bebelan kerana berasa tidak pasti atau selamat adalah biasa. Kalau tidak, bukan kasih bersih seorang ibu namanya.
Bebas bercerita. Menulis status di facebook secara spontan tanpa memikirkan kata yang bakal diterima orang lain. Tiada yang menyekat pandangan dengan pelbagai komen. Jauh sekali marah atau mengutuk. Ah, sungguh gembira jika tiada bantah membantah. Melihat dengan persepsi yang positif. Sungguh kehidupan yang bersih. Namun ternyata banyak hati yang harus dijaga sebelum sepatah kata diluahkan di khalayak umum. Namun aku masih memilih untuk terus bersuara di blog tanpa rasa gentar.
Bebas beraksi. Aku memilih untuk bebas bertindak kerana yakin bahawa setiap langkah adalah tepat. Sesetengah orang memilih untuk memakai apa sahaja kerana padanya itu adalah kebebasan. Sesetengah golongan bertindak di jalanan secara aman untuk memastikan kebebasan terlaksana. Padaku, kebebasan boleh dimiliki oleh semua orang. Cumanya tidak sekali boleh melupai bahawa kita dillindungi Tuhan. Kebebasan harus berlandaskan hukumnya. Cerminan paling hebat terhadap hukum alam adalah persepsi masyarakat. Lalu hasilnya, sering dengan adat yang ada.
Aku mahu bebas berjalan dan berlari kerana aku rasa tindakan itu tepat. Jauh sekali melanggar hukumnya. Berjuang untuk keadilan yang bersih. Hanya mereka yang pernah berlari mengetahui betapa jalan itu indah atau buruk. Semua bebas berkata, semua orang bebas bertindak. Paling penting kita perlu bebaskan fikiran kita daripada pengaruh yang jahat.
Setiap orang punya tafsiran yang berbeza tentang kebebasan kerana masing-masing berada dalam sangkar yang berbeza. Biar apa yang dikata, paling penting aku tahu niatku murni. Mahu membersihkan diri dari segala ketidakadilan.

3 comments:
sesekali rasa bebas, rasa ingin terbang!
saya juga ingin begitu
Azma & Fahmi: jom pergi terbang di sunway lagoon...hehehe flying fox ke...
Post a Comment