Saturday, June 18, 2011

Hadiah untuk Diri!

Selepas bekerja keras, memerah keringat sepanjang hari mahupun sepanjang tahun tentu kita hadiah untuk diri sendiri. Menghargai segala usaha penat lelah tulang empat kerat.

Rakan-rakan sekerja sibuk menempah tiket penerbangan ketika AirAsia menawarkan tiketmurah. Masing-masing merancang percutian indah, untuk keluar Negara mahupun dalam negara. Seorang teman yang baru kembali dari Beijing menyebut, inilah hadiah untuk kerja sampai lewat malam. Melepaskan tekanan.

Minggu lepas bebanan kerja di pejabat menyebabkan aku terpaksa balik lambat. Hampir satu minggu berkejaran menyiapkan tugasan yang diberi saat-saat akhir benar-benar melemahkan fikiran dan tubuh. Pulang saja yang terbayang adalah nasi goreng cobra dan sup tulang. Menikmati lewat malam sebenarnya tidak menyelesakan tetapi terasa bahawa itu adalah hadiah untuk diri. Bahkan hari Jumaat dua minggu lalu terasa cukup indah apabila kepenatan akan berakhir dan yang tinggal hanya ruang untuk merehatkan diri selama lima hari.

Adakah melepaskan lelah dengan bercuti adalah hadiah paling baik untuk diri setelah penat bekerja? Atau memenuhkan almari dengan koleksi pakaian lebih bermakna? Mungkin juga menikmati hidangan yang enak adalah pilihan. Kalau aku terus terang aku lebih memilih untuk merasai makanan yang lazat. Saat ini terbayang sagu gula Melaka yang sudah hamper sebulan diingini. Ah, hujung bulan ini harus dilepaskan juga!!

Pulang ke kampung tempoh hari bagiku adalah hadiah untuk diri juga. Berehat-tidur-makan yang mengisi setiap hari terasa juga indah. Tetapi apabila seisi rumah keluar bekerja terasa sungguh janggal. Adakah cuti begini adalah hadiah untuk diri? Terdetik juga dengan kesungguhan seorang adik yang bekerja seolah tiada rasa penat. Keluar seawal 7.00 pagi selepas sarapan kecil dan kembali beberapa minit sebelum Zuhur untuk menikmati bekalan nasi yang sepatutnya menjadi sarapan. Setelah berehat sekejap, dia kembali ke ladang dan pulang untuk solat Asar. Kemudian kembali menyelesaikan tugas yang ada sehingga senja. Ah, kadang-kadang aku terfikir, dimanakah dia membeli hadiah untuk diri?

Kerja dengan pendapatan tetap setiap bulan, dengan rutin yang hampir sama setiap hari, dengan hasil yang hampir serupa saban tahun barangkali adalah faktor yang menyebabkan aku sering merasakan perlunya membeli hadiah untuk diri. Sepatutnya aku harus bertanya apakah hadiah yang telah aku berikan untuk masyarakat. Selepas menghambakan diri untuk bekerja dan mendapat segalanya untuk poket sendiri, aku perlu memberi sesuatu kepada masyarakat. Ah, adakah aku layak untuk mendapat hadiah untuk diri setelah mengalpakan khidmat untuk agama? Tentu sahaja 24 jam itu bukan hanya milikku.


Hadiah seorang anak untuk Abah bolehkah dikira sebagai hadiah untu masyarakat?


Hadiah untuk diri vs hadiah untuk agama dan masyarakat! Bantulah aku mengatasinya. Hulurkanlah sedikit cadangan duhai teman.

No comments: