“Saya buat kerja ini semata-mata untuk menyara keluarga, nanti anak tidak boleh makan, sewa rumah tak boleh bayar.”
“Usia sudah tua, 40 lebih, susah nak dapat kerja. Jadi saya buat kerja ini.”
Itulah sebab yang diutarakan oleh dua orang pelacur yang ditangkap semasa serbuan. Laporan TV3 malam beberapa hari lalu sedikit mencuit hati. Mungkin itu hanya kata sebahagian daripada mereka yang terdesak kerana masalah ekonomi keluarga. Malah alasan yang sama mungkin diberikan oleh pencuri kabel elektrik atau juga penyeluk saku. Ketika mereka yang terdesak ini bergelumbang dengan dosa, masih ramai lagi rakyat Malaysia yang terdesak bertindak lebih murni dengan melakukan kerja yang boleh menghasilkan duit seperti mengutip sampah untuk mendapatkan bahan buangan yang boleh dikitar semula.
Keadaan ekonomi kini memang menyukarkan kehidupan terutamanya kepada masyarakat kota. Kehidupan di kota indah ini barangkali memerlukan kos lebih daripada RM2000 sebulan. Aku , seorang pegawai lepasan universiti kadang-kadang sesak nafas juga memikirkan masalah ekonomi. Semenjak kecil, aku yakin kebanyakan daripada kita diberitahu oleh ibubapa untuk belajar bersungguh-sungguh supaya kelak apabila dewasa boleh mendapat pekerjaan yang lebih baik. Fenemona sebegini jelas mempamerkan kepada kita betapa wang seolah-olah matlamat utama kehidupan. Lalu kita membesar dengan hanya mimpikan kedudukan kewangan yang baik. Hidup senang dengan segala nikmat.
Barangkali setelah lemas dan tenggelam dalam masalah mendapatkan sumber kewangan yang baik, ramai yang memilih jalan yang salah iaitu mencari kewangan menerusi sumber tidak halal. Mungkinkah orang lain disalahkan kerana tindakan mereka ini? Jika zakat dan bantuan diberikan dengan sempurna tetapi mereka masih lagi bertindak sedemikian, jawapannya adalah ya. Tafsiranku ada dua kemungkinan kini – zakat tidak diagihkan dengan baik atau masih ramai lagi yang tidak membayar zakat. Sebelum kita salahkan orang lain, tanyalah dulu diri kita sudahkah kita tunaikan zakat pendapatan. Jika ya, barulah boleh kita persoalan langkah kerajaan.
Saidina Abu Bakar memerangi golongan munafiq yang tidak mahu membayar zakat menggambarkan betapa pentingnya zakat. Aku kadang-kadang terfikir adakah ramai yang sudah lupa dengan rukun Islam. Ataupun kita masih merasai bahawa wang tetap tidak cukup. Namun kita harus sedar zakat terpaksa ditunaikan kerana itu adalah tuntutanNya.

No comments:
Post a Comment