“Menjunjung kasih kepada kalian yang banyak mendoakan kesejahteraan hamba, agar hamba selamat selesai dalam hal ini.”
Demikianlah bicara tutur Nazim Gagah tatkala bersua kita di luar kamar bicara. Lega tiada dapat diluah dengan kata apabila segala tuduhan pada sahabat sehati kita itu dilepaskan. Terselamatlah Nazim Gagah daripada dihukum gantung sehingga maut, malah salah dituju jua pada Firda yang sengaja mahu membinasakan diri dengan menikam dada. Biarlah kita simpan segala rahsia untuk tatapan hati saja.
Arkian, bertemulah kami lewat sore sambil menikmati air buah mata si kucing hitam dengan nisan gula merah yang sedap itu, tiada sentuh bual mengenai kes cedera cuba bunuh Firda, malah banyak kita yang bercerita tentang segala hal melibatkan sekalian teman taulan yang banyak seinci mengorak langkah menuju tangga kejayaan dalam hal rumah tangga mahupun kerja jaya.
Tanpa disangka kita, Nazim Gagah terus bertanya, “ Kalau tuan dapat 66 500 riyal, apakah kelak tuan adakan?”
“Kenapakah?” Pelik persoalan mengujakan kita untuk bertanya lagi.
“Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Barangkali kelak ada yang memberi tuan sebanyak itu.”
“Uh, kalau begitu, mahu kita lunas segala hutang dengan Paduka Tuan Putera Tabung Naga yang masih ada berbaki sedikit agar aman berkat segala ilmu yang dituntut dahulu. Lebihnya mahu juga kita buat bekal pendahuluan untuk membeli sewa teratak kecil agar kalau kita berpasangan kelak, tiadalah menumpang sewa sahaja. Tentu saja yang dua perkara itu tiadalah lebih dari 30 000 riyal kerana hutang dengan Paduka Tuan tiada sampai 3000 riyal. Selebihnya elok juga kita guna untuk melangkah ke bumi tanah haram Makkah. Moga diterimalah kita menjadi tetamuNya. Kita rasa masih ada lagi baki sisa yang tentu boleh saja kita juga untuk membawa ke jalan pedati Myvi. Barangkali ada lagi bakinya, elok rasa kita simpan saja sebagai bekala sedia untuk Ramadan yang tinggal dihitung saja harinya.”
“Molek sungguh perlakuan tuan, mudah-mudahan direstui Allah dunia dan akhirat.”
“Kalau tuan hamba, bagaimana hendaknya?”
“Kita tiadalah mahu menyusahkan diri dengan segala hitung, baik saja kita beli nombor 1 KCT. Mudah, senang, cepat. Boleh kita tengok hari-hari pada pedati kita. Biar kekal lama di situ.”
Kita menarik nafas lega. Mujur kita tidak dapat duit sebanyak itu. Kelak kita pula yang tersipu-sipu mengira segala duit. Mujur Allah beri kita sedikit kesusahan untuk kita rasa betapa banyak lagi perkara boleh dibikin buat toleh kira untuk kita dan rakyat segala. Barangkali bersamamu yang tersohor itu juga perlu sedikit bantuan hulur untuk ringan segala beban.

No comments:
Post a Comment