Friday, February 19, 2010

Rasa Yang Pelbagai

Berehat

Lama sungguh aku bercuti, tidak berdatang di sini. Kemana? Sibuk? Oh, aku tidak kemana-mana, seperti biasa. Melaksanakan rutin harian. Pagi pergi kerja, balik kerja makan dan tidur. Noktah. Hidup juga rasa bosan. Tiada yang istimewa. Tapi beberapa hari lepas sempat merasai saat istimewa, apabila berada di bawah pandangan mata Mi dan Abah, berada dalam dakapan sahabat dan mengelamun di hadapan skrin.

Sempat bercuti di kampung beberapa hari lalu. Namun masih tidak puas. Banyak hutang pada diri yang tertanggung. Banyak lagi hutang pada Dia, juga segunung hutang pada sebuah ukhuwah. Terasa seperti mahu saja mengambil cuti panjang. Sebulan barangkali. Berjalan mencari cinta dan ukhuwah. Berlari meninggalkan pelangi dan hijau. Biar basah di bawah hujan sahaja. Mengutip cengkerang baki masa yang ada untuk menyelesaikan segala hutang. Mahu saja aku terbang merentasi tepian pantai mengejar angin yang lalu. Ya, aku masih terumbang-ambing. Tidak ketahuan!

Mahu saja aku berehat di atas angin, membiarkan badai mehempas tubuh.


Gembira

Tahun ini mencurah-curah jemputan kahwin dari rakan sepermainan dan teman seperguruan. Alhamdulillah masing-masing sudah mara ke depan, menyelesaikan satu tanggungjawab. Mudah-mudahan dapat berkongsi keseronokan bersama mereka. Kadang-kadang aku kejam dalam berkongsi kebaikan, malah melakukan sesuatu yang tidak tepat hingga menguris hati. Kalau boleh mahu saja aku memenuhi semua jemputan. Bergerak dari tengah ke utara dan seterusnya ke selatan. Tapi apakan daya, pagar yang aku bina selalu menghalang.

Seronok sebenarnya melihat dan mendengar teman berdepan dengan imam demi sebuah ikatan, riang jika dapat bersua meninggalakan memori dan pasti lebih teruja jika dapat menyertai segala persiapan.

Tahniah untuk semua teman yang bertunang, berkahwin dan bakal berkahwin. Jangan tanya aku bila aku akan menghulurkan kadku!!!


Berkhelah.

Berdiri di tepi pantai, menghadap laut terasa indah. Berenang dalam sejuk air sungai bagai menyuntik semangat. Sebab itu kalau ke pantai atau ke sungai, aku selalu memilih untuk bergerak sendiri untuk beberapa ketika, melayan karenah diri. Dalam sibuk menyelesaikan tugasan, sempat juga ku ke pantai dan ke sungai. Cumanya tidak sempat bersendiri di tepian air. Barangkali harus ke sana lagi.

Ada rancangan mahu ke Kuala Gandah yang tergendala. Tidak pasti bila akan muncul lagi. Ada juga cerita-cerita mahu ke Laut China Selatan. Ah, sekadar menunggu kerana berjalan begini aku tidak boleh sendiri, mesti bersama-sama merasai ukhuwah. Untung adikku, petang ini akan ke Bali. Kerja lapangan universiti. Sehebat itu perancangan mereka, kenapakah sewaktu aku di Universiti Malaya dulu tiada begini.

Tiba-tiba teringat perjalanan ku dan perjalanan mereka ke Cameron Highland!! Rindunya pada bau strawberi!!

Catatan ini sekadar menyampaikan sesuatu. Masanya sudah tiba untuk bicara-rasa-buang! Maaf jika tiada manfaat untuk kalian.

3 comments:

Eisha said...

buat field work smp ke bali??wahh hebatt i tak penah pon jln jauh2 cmtu

rabia-adawiah musa said...

hai peng!
bila novel peng nak kuar ni?? hehe :)

fairuspeng said...

Eisha: tu la pasal... maklumlah budak-budak kelas dia semua kaya-kaya.. tak nak pergi dalam negera.. nak pergi luar negara saja...
mujur dia tak sengsarakan peng..

Biah: keluar ke tak? bukan bila nak keluar