Wednesday, February 24, 2010

Mengukur (edisi terakhir)

Sudah hampir separuh penggal pertama tahun, tidak habis-habis lagi aku berbicara soal mengukur.

Apabila ditanya pada beberapa orang, apa kayu pengukur atau penanda aras, ramai akan yang menjawab duit. Kalau lebih spesifik, ada yang menjawab di usia 40 sudah bergelar jutawan. Oh, aku termanggu-manggu sendirian, sampai bila aku tidak akan berjaya barangkali. Duit memang penting, kerana dalam dunia serba indah ini semua perkara memerlukan duit, tapi kita kena ingat betapa duit bukanlah segala-galanya. Tentunya, kita boleh saja menjadi jutawan atau mengumpul sebanyak mana duit tetapi jangalah sampai kita terlena dibuai duit.

Padaku, kita perlu mencari duit malah kita juga harus menjadi kaya agar banyak perkara kita boleh lakukan tanpa perlu menyusahkan orang atau berusaha meminjam. Cumanya kejayaan kita bukan diukur pada berapa banyak duit yang kita ada tetapi pada berapa banyak duit yang kita keluarkan untuk kegunaan orang lain. Bukanlah duit itu diguna untuk membeli kereta mewah yang tiada guna melainkan untuk diri sendiri ataupun untuk membina istana agam lagi indah yang lengkap dengan segala perabot agar kita boleh bersenang lenang.

Padaku, kita berjaya jika banyak harta digunakan untuk membantu orang lain. Walaupun harta dan wang kita tiadalah banyak hingga mencecah juta tetapi jika kita banyak memberi- itulah tanda berjaya. Cumanya pernah juga terbaca bahawa duit yang disedekahkan semasa masih hidup itu lebih baik daripada duit yang diwasiatkan untuk disedekah. Tentu saja duit itu bukan milik kita lagi dan kita sudah tiada kepentingan berbanding semasa hidup. Malah ada seseorang pernah menyebut kepadaku, cukuplah tinggalkan kepada kaum-kerabat duit insurans sahaja. Harta lain belanjakan sahaja.

Secara amnya, ada tiga faktor ukuran yang aku gunakan di sini untuk mengukur kejayaan hidupku iaitu anak, ilmu dan wang. Tentu semua sudah boleh menilai dari mana aku mendapatkan segalanya. Tentu saja daripada hadis Rasulullah ini,

Diriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘an bahawasanya Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Apabila seseorang manusia itu meninggal dunia maka terputuslah segala amalannya melainkan daripada tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu pengetahuan yang dapat diambil manfaat daripadanya dan anak soleh yang mendoakan untuknya”. (Hadith riwayat Imam Muslim)

Mudah-mudahan aku dapat membina kejayaan hidupku berlandaskan prinsip ini. Mungkin kalau ada yang lebih baik, boleh dikongsikan denganku, silakan. Aku masih mencari nilai hidupku.

No comments: