Cuti, selalu diterjemahkan apabila benak terasa berat. Kerja bertimbun tak pernah surut. Puas termenung di depan komputer, rasa teringin juga bercuti. Hasilnya beberapa kali juga aku mengambil cuti.
Percutian, apa tafsirannya? Melapangkan hati, meninggalkan segala hiruk-pikuk kota dan merasai keindahan flora fauna yang terbentang. Pertama kali bercuti adalah di Cameron Highland, beberapa tahun yang lepas. Menghabiskan tiga hari di sana rasa sudah cukup, kalau tidak datang sekali lagi tidak mengapa. Kemudian, menjelajahi Pulau Kapas pertengahan tahun lepas. Menikmati keindahan laut yang biru dan sempat menjelajah bandar Kuala Terengganu. Akhir sekali ke Pulau rRdang, dua hari yang tidak cukup nafas. Mahu kembali lagi. Tidak lupa juga, baru-baru ini ke Penang dan Kedah untuk lawatan singkat sambil memenuhi undangan perkahwinan.
Selebihnya cutiku banyak dihabiskan di Tanah Serendah Sekebun Bunga atau lebih tepat di sisi keluarga dan teman-teman. Melayan karenah adik-adik, bertukar cerita dan paling penting menagih kasih. Sekurang-kurangnya dua bulan sekali aku akan menjejakkan kaki ke bumi Kelantan. Selebihnya aku mengambil cuti untuk ke Grik dan kadang-kadang ke Kluang.
Cuti tentu semata-mata bukan untuk merasai nikmat dunia dan lari daripada kesibukan kota. Cuti biasanya untuk menambah keakraban dan kasih sayang bersama keluarga. Tentu juga untuk mengikat kasih ukhuwah. Oleh itu apabila balik kampung, tumpuan adalah untuk berkasih sayang dengan keluarga. Malah memenuhi waktu senggang dengan keluar bersama teman-teman. Waktu ini untuk bertukar cerita dan kemaskini maklumat. Malah waktu makan malam adalah waktu terbaik untukku sekeluarga bermesra. Bercuti sebegini selalunya lebih letih daripada bekerja di pejabat, betul ke?
Lawatan ke seluruh tempat menarik di Malaysia jugaadalah atas satu nilai persahabatan. Pergi untuk mengikat ukhuwah terutamanya dengan teman-teman yang jarang bertemu kerana masing-masing terkejar dengan kerjaya. Menikmati indah ciptaan Allah dalam dakapan teman-teman memang mengasyikkan. Lantaran itu, aku berharap benar mahu menjelajah ke selurh pulau di Semenanjung bersama teman-teman sebelum kaki menjejak ke alam baru. Oh, alam baru, bilakah?
Grik dan Kluang adalah destinasi yang sungguh istimewa kerana dua-duanya merapatkan ikatan darah yang telah lama sebati dalam diri ini. Bertemu mak saudara dan sepupu adalah satu terapi. Bahkan kedua-duanya menjanjikan satu percutian yang hebat. Makanan di kampung, Kluang dan Grik adalah berbeza, tetapi ketiga-tiga sungguh istimewa. Uh, sebagai pencinta makanan aku jadi sungguh kaku. Kampung dengan masakan enak bonda yang sejak dulu mengalir sebati dengan diriku. Kluang dengan hidangan kopi dan roti yang ‘terbaik’ selain nikmat masakan Johor yang selalu menambah selera. Grik pula dengan hidangan ikan air tawar segar daripada mak saudara ‘terbaik’ adalah bonus yang tidak boleh dilepaskan.
Kenangan cuti Jun
Namun, rancangan cuti Jun sungguh tergendala. Kalau mengingati plan yang diatur rasa sebak sungguh. Apatah lagi melihat gambar yang melakarkan memori. Kita sekadar merancang, walaupun tiket sudah di tangan, belum tentu kita boleh melangkah pulang. Mudah-mudahan segala hikmahnya boleh dirasai.
Rancangan seterusnya, Pulau Perhentian,- siapa mahu ikut?

1 comment:
saya2!!!!nak ikut2222!!!!!hehehe
Post a Comment